Doktor, jururawat di Itali mogok

Doktor dan jururawat Itali berkumpul di Piazza Santi Apostoli semasa mogok 24 jam di seluruh negara. - Foto Agensi
Doktor dan jururawat Itali berkumpul di Piazza Santi Apostoli semasa mogok 24 jam di seluruh negara. - Foto Agensi
A
A
A

ROM - Beribu-ribu doktor, jururawat dan pekerja penjagaan kesihatan melancarkan mogok 24 jam di seluruh Itali pada Selasa, menuntut perkitaran kerja yang lebih baik dan penambahbaikan kepada sistem kesihatan awam.

Mereka juga membantah cadangan pemotongan pencen dalam rang undang-undang belanjawan 2024, yang diluluskan oleh kerajaan pada Oktober dan kini menunggu kelulusan Parlimen.

Kira-kira 85 peratus petugas Perkhidmatan Kesihatan Nasional (SSN) dan kemudahan perubatan swasta tidak bekerja pada Selasa, menurut kesatuan sekerja sektor itu.

Ini menyebabkan kira-kira 1.5 juta pemeriksaan kesihatan dan pembedahan yang dirancang pada hari berkenaan terpaksa ditangguhkan walaupun perkhidmatan penjagaan kesihatan utama tetap disediakan, lapor Xinhua memetik laporan media tempatan.

Satu perhimpunan besar berlangsung di Rom untuk menyokong mogok itu.

Selain tuntutan ekonomi khusus, profesional penjagaan kesihatan Itali juga menggesa kerajaan membuat pelaburan yang lebih besar dalam SSN untuk bersiap menghadapi cabaran semasa dan masa depan.

Lewat Isnin, Menteri Hal Ehwal Parlimen Itali, Luca Ciriani berkata, Kabinet merancang meminda peruntukan rang undang-undang belanjawan mengenai pencen perubatan.

Selepas mengadakan pertemuan dengan kesatuan penjagaan kesihatan pada akhir November, Menteri Kesihatan, Orazio Schillaci juga memberitahu media tempatan bahawa beliau terbuka untuk berdialog dan bersedia untuk berkompromi dengan tuntutan pekerja penjagaan kesihatan. - Bernama

Artikel Berkaitan: