Identiti mayat dalam tong terungkai selepas 40 tahun

Misteri identiti seorang lelaki yang dibunuh dan mayatnya disembunyikan dalam tong sebelum dibuang ke Tasik Mead, Amerika Syarikat (AS), akhirnya terungkai selepas lebih empat dekad
Misteri identiti seorang lelaki yang dibunuh dan mayatnya disembunyikan dalam tong sebelum dibuang ke Tasik Mead, Amerika Syarikat (AS), akhirnya terungkai selepas lebih empat dekad
A
A
A

LAS VEGAS – Misteri identiti seorang lelaki yang dibunuh dan mayatnya disembunyikan dalam tong sebelum dibuang ke Tasik Mead, Amerika Syarikat (AS), akhirnya terungkai selepas lebih empat dekad apabila rangkanya dikenal pasti, lapor Gulf News.

Mangsa disahkan sebagai Edward Lelburian Jackson, lelaki dari Arkansas yang dipercayai berusia dalam lingkungan pertengahan hingga akhir 50-an ketika dibunuh.

Pihak berkuasa Las Vegas mengesahkan identiti lelaki itu pada Khamis, selepas rangkanya ditemukan di tebing Tasik Mead pada Mei 2022.

Rangka berkenaan ditemukan seorang pengemudi bot di dalam tong berkarat ketika paras air tasik itu menyusut.

Penyiasat percaya Jackson dibunuh sekitar penghujung 1970-an atau awal 1980-an, namun individu yang bertanggungjawab terhadap kematiannya masih belum dikenal pasti.

Penemuan rangka itu turut mencetuskan spekulasi mengenai kemungkinan pembunuhan berkenaan mempunyai kaitan dengan kegiatan jenayah terancang ketika Las Vegas sedang berkembang pesat sebagai pusat perjudian.

Bagaimanapun, polis menegaskan setakat ini tiada bukti yang menghubungkan kematian Jackson dengan kumpulan jenayah terancang.

Pemeriksa Mayat Daerah Clark, Melanie Rouse berkata, identiti mangsa berjaya dikenal pasti menerusi kaedah genealogi genetik.

Penyiasat menghantar sampel tulang untuk analisis asid deoksiribonukleik (DNA), selain menggunakan rekonstruksi wajah dan meneliti pakaian yang ditemukan bersama rangka berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Ketika ditemukan, Jackson memakai kemeja berkolar lengan pendek, seluar jeans biru muda, kasut tenis putih dan biru serta jam tangan berwarna perak.

Leftenan Robert Price daripada unit siasatan pembunuhan Polis Metropolitan Las Vegas berkata, keluarga Jackson tidak pernah melaporkan kehilangannya.

Menurutnya, Jackson diketahui sering mengembara dan ada kalanya menghilangkan diri untuk tempoh yang lama.

Penyiasat turut menemukan rekod yang menunjukkan Jackson pernah menetap di California bersama isterinya pada awal 1970-an, selain mempunyai rekod jenayah di Utah pada awal 1980-an.

Penemuan itu menghidupkan kembali perhatian terhadap sejarah jenayah terancang di Las Vegas.

Naib Presiden Penyelidikan, Koleksi dan Program di The Mob Museum, Geoff Schumacher berkata, kaedah menyembunyikan mayat dalam tong mempunyai persamaan dengan beberapa pembunuhan yang dikaitkan dengan kumpulan jenayah terancang.

Beliau turut membandingkan kes Jackson dengan pembunuhan John Roselli, anggota kumpulan mafia yang mayatnya ditemukan dalam tong berhampiran Pantai Miami pada 1976.

Namun, pihak berkuasa menegaskan belum ada bukti yang mengaitkan kedua-dua kes atau mengesahkan Jackson menjadi mangsa jenayah terancang.

Tasik Mead, antara takungan air terbesar di AS, mengalami penyusutan paras air susulan kemarau berpanjangan dan penggunaan air yang tinggi.

Penurunan itu mendedahkan kawasan yang sebelum ini ditenggelami air selama beberapa dekad, termasuk lokasi penemuan beberapa rangka manusia pada 2022.

Sebahagian rangka berkenaan dikenal pasti sebagai mangsa lemas, manakala kematian Jackson diklasifikasikan sebagai pembunuhan.

Walaupun identitinya kini diketahui, punca dan motif pembunuhan Jackson serta pihak yang bertanggungjawab masih belum terungkai.

Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu tampil membantu siasatan. – Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!