Syarikat beli ventilator rosak perlu diambil tindakan - CAP

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

GEORGE TOWN - Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa pihak berkuasa supaya mengambil tindakan tegas terhadap pihak didakwa bertanggungjawab membeli ventilator rosak yang diperoleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) semasa pandemik Covid-19.

Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata, keadaan ventilator yang rosak bukan sahaja membazirkan dana awam malah membahayakan nyawa pesakit.

"Memandangkan peralatan menyelamatkan nyawa seperti ventilator sangat penting semasa pandemik Covid-19, adalah mengejutkan bahawa kecuaian sedemikian telah berlaku," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Ventilator perubatan ialah mesin yang membantu paru-paru untuk mendapatkan keperluan oksigen.

Mohideen mendakwa, ketika kemuncak pandemik Covid-19 pada 2020, Kabinet dimaklumkan mengenai keperluan bagi 800 ventilator dan KKM telah meluluskan RM30 juta kepada sebuah syarikat untuk membeli 500 unit ventilator.

"Bagaimanapun, didapati 104 daripada 136 ventilator yang dibeli tidak boleh digunakan," dakwanya.

Tambah beliau, CAP percaya bahawa lebih banyak perkara perlu dilakukan untuk menuntut akauntabiliti daripada mereka yang bertanggungjawab terhadap kecuaian dalam tugas mereka.

"Pihak berbeza yang bertanggungjawab atas 'kecuaian yang jelas' dalam skandal ventilator yang didedahkan oleh Laporan Ketua Audit Negara mesti dikenal pasti dan dihukum.

Artikel Berkaitan:

Mohideen berkata, PAC juga gagal dalam tugasnya untuk mendedahkan mereka yang bertanggungjawab bagi pembelian ventilator yang tidak boleh digunakan.

"Alasannya bahawa tiada kontrak bertulis rasmi adalah tidak boleh diterima.

"Mesti ada bukti dokumentari dan lisan mengenai proses yang membawa kepada pembelian ventilator rosak.

"Bukti mendedahkan jika terdapat sebarang kecuaian yang teruk atau mungkin berlaku amalan rasuah di pihak mereka yang terlibat dalam membuat keputusan, PAC sepatutnya mengesyorkan agar agensi penguatkuasaan undang-undang menyiasat kes itu dan mengambil tindakan sepatutnya terhadap mereka yang bersalah," katanya.

Tambah beliau lagi, menurut laporan PAC, ventilator itu tidak boleh digunakan kerana titik palam berbeza daripada titik palam yang digunakan di Malaysia.

"Sungguh mengejutkan apabila KKM telah melantik syarikat itu menjadi orang tengah bagi membekalkan 136 ventilator berharga RM24.1 juta tanpa kontrak yang sewajarnya.

"Apa yang berlaku kepada unit integriti dan pematuhan dalam KKM yang diperlukan untuk mengawasi semua pembelian apabila prosedur yang ditetapkan tidak dipatuhi dalam pembelian ventilator," ujar beliau.

Tegasnya, walaupun dalam menghadapi pandemik, pengesahan perolehan rasmi perlu melalui kontrak pembekalan yang betul dengan spesifikasi produk yang jelas, jaminan, kewajipan pembekal terhadap ujian dan pentauliahan, penghantaran dan sokongan teknikal.