Kelonggaran warga asing isi MDAC sehingga 31 Disember

Saifuddin Nasution melihat seorang pelancong melalui tempat pemeriksaan pasport semasa melihat proses pelaksanaan Pelan Liberalisasi Visa di KLIA Terminal 1 pada Selasa. - Foto Bernama
Saifuddin Nasution melihat seorang pelancong melalui tempat pemeriksaan pasport semasa melihat proses pelaksanaan Pelan Liberalisasi Visa di KLIA Terminal 1 pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

SEPANG - Warga asing yang ingin memasuki negara ini diberi kelonggaran sehingga 31 Disember ini mengisi Kad Ketibaan Digital Malaysia (MDAC) di pintu masuk negara, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail

Bercakap pada sidang media selepas meninjau pelaksanaan Pelan Liberalisasi Visa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 di sini pada Selasa, beliau berkata, bermula 1 Januari 2024, warga asing diwajibkan mengisi kad digital berkenaan dua atau tiga hari sebelum tiba di negara ini.

"Mereka masih boleh mengisi kad digital itu sebaik tiba di sini sebab ada sesetengah orang baru tahu mengenai pelaksanaan ini, jadi kelonggaran diberikan.

Pengisian MDAC ini penting untuk memastikan aspek kawalan tidak dikompromi di dalam kita memberi kelonggaran syarat-syarat kemasukan pelancong,” katanya MDAC mempunyai ciri-ciri keselamatan.

MDAC merupakan salah satu daripada lima inisiatif utama bagi penambahbaikan kemudahan perkhidmatan Jabatan Imigresen, selaras pelaksanaan Pelan Liberalisasi Visa (PLV) yang mengecualikan visa selama 30 hari kepada pelancong dari China dan India bermula 1 Disember.

Beliau berkata, pelancong asing ke Malaysia tidak perlu berdepan proses pemohonan visa yang agak merumitkan dengan pengisian MDAC itu.

”Kita dapat memantau pergerakan atau mengetahui alamat didiami kalau mereka masuk ke negara kita melalui MDAC,” katanya.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata kelonggaran serta pengecualian MDAC diberikan terutamanya kepada individu-individu yang merupakan pengembara berulang di sempadan-sempadan negara.

Artikel Berkaitan:

"Ini juga untuk memastikan tiada kesesakan di pintu-pintu masuk antarabangsa kita,” katanya.

Selain warga Singapura, turut dikecualikan mengisi MDAC ialah pemegang pasport tetap Malaysia dan pas jangka panjang Malaysia, pemegang sijil pengenalan biasa Brunei (GCI) dan "Brunei Malaysia Frequent Traveller Facility”, pemegang pas sempadan Thailand dan pas Lintas Batas Indonesia.

Sementara itu, beliau berkata, sebanyak 14 kaunter Jabatan Imigresen yang baharu dibuka di KLIA sempena pelaksanaan pengecualian visa berkenaan bermula 1 Disember.

Ia menjadikan jumlah keseluruhan kaunter imigresen yang beroperasi di KLIA adalah sebanyak 60, untuk memudah dan mempercepatkan pergerakan kemasukan pengunjung atau pelancong asing. - Bernama