Banjir: Usahawan terjejas boleh mohon tangguh bayaran pinjaman - Ewon

Ewon (depan) melakukan lawatan kerja ke Menara Bank Rakyat di Coronation Square pada Selasa.
Ewon (depan) melakukan lawatan kerja ke Menara Bank Rakyat di Coronation Square pada Selasa.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Usahawan Perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang terjejas akibat bencana di seluruh negara boleh memohon untuk menangguhkan bayaran balik pinjaman sekurang-kurangnya tiga bulan.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, penangguhan pinjaman melibatkan Tekun Nasional, Amanah Ikhtiar Malaysia dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia.

Jelasnya, penangguhan pinjaman itu merupakan langkah penting bagi membantu usahawan terbabit memulihkan kembali perniagaan yang terjejas akibat bencana banjir.

"Kita mempunyai dasar untuk membenarkan penangguhan sehingga tiga bulan sekiranya premis perniagaan mereka atau tempat operasi mereka berniaga yang terjejas banjir.

"Saya arahkan kepada agensi di bawah kementerian in sekiranya menerima permohonan daripada PMKS untuk teliti dan mempertimbangkannya," ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar ketika melakukan lawatan kerja ke Menara Bank Rakyat di Coronation Square, di sini pada Selasa.

Ewon (dua dari kiri) diberi taklimat ketika melakukan lawatan kerja ke Menara Bank Rakyat di Coronation Square pada Selasa.
Ewon (dua dari kiri) diberi taklimat ketika melakukan lawatan kerja ke Menara Bank Rakyat di Coronation Square pada Selasa.

Monsun Timur Laut atau musim tengkujuh di negara ini telah bermula pada 11 Nov ini dan dijangka berterusan sehingga Mac 2024.

Artikel Berkaitan:

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan, dalam tempoh ini empat hingga enam episod hujan lebat bakal berlaku.

Situasi banjir terkini di Kelantan dilaporkan semakin memburuk apabila mangsa mencecah 5,971 orang pada Isnin.

Sebelum itu, Ewon mendengar taklimat mengenai pembinaan Menara Bank Rakyat, yang membabitkan pembangunan bersepadu di Coronation Square, yang bernilai RM6 bilion.

Bagaimanapun, Menara Bank Rakyat setinggi 35 tingkat adalah menara pertama dari lapan menara yang sudah siap dibina sepenuhnya tahun ini.

Coronation Square seluas 2.3 hektar adalah antara Zon Pembangunan Projek Ibrahim International Business District (IIBD).