Jakoa perlu siasat lebih terperinci

Nasir Dollah
Nasir Dollah
A
A
A

GUA MUSANG - Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) perlu membuat siasatan terperinci dalam kes melibatkan seorang lelaki orang asli yang mendakwa ditinggalkan di tepi jalan, Isnin lalu.

Aktivis orang asli, Nasir Dollah berkata, jika perkara itu benar, ia satu penghinaan terhadap komuniti orang asli dan perkara sedemikian tidak sepatutnya berlaku.

Dakwanya, kes seumpama itu bukanlah kes baharu malah sebelum ini, kejadian sama pernah berlaku melibatkan perkhidmatan menghantar orang asli ke kampung mereka.

"Pada tahun 2010, mayat kanak-kanak orang asli dari Pos Ber, Gua Musang, berusia 2 tahun dibawa menggunakan motosikal dari Ipoh ke kampung berkenaan.

"Oleh sebab itu, dalam kes Ahee Angah, saya mohon siasatan yang terperinci agar ia tidak menyebelahi sebelah pihak sahaja. Jika didapati bersalah, pemandu terbabit perlu dibatalkan kontrak.

"Dalam hal ini, saya merasakan Jakoa sepatutnya melihat penglibatan orang asli sendiri dalam kerja-kerja penghantaran. Ia lebih mudah dalam hal-hal membawa atau menghantar ke hospital," katanya.

Nasir berkata, dia tidak teragak-agak untuk membawa perkara itu ke peringkat lebih tinggi, kemungkinan ke mahkamah sekiranya keputusan tidak memuaskan.

"Buat masa ini, kita tunggu apa keputusan Jakoa dalam hal ini. Sekiranya keputusan itu tidak memuaskan hati keluarga terbabit, mungkin kita akan perjuangkan dengan cara lain," katanya.

Artikel Berkaitan:

Khamis lalu, seorang lelaki orang asli dari Pos Blau, di sini tampil membuat laporan polis selepas mendakwa Jakoa dan pemandu kontraktor cuai dalam urusan menghantarnya ke kampung.

Ahee Angah, 22, dari Kampung Kelaik, Pos Blau berkata, pada malam Ahad lalu, isterinya bersalin di Hospital Kuala Krai (HKK), namun malangnya bayi mereka meninggal dunia.

Katanya, keesokan hari, dia membawa pulang mayat bayinya yang dilahirkan tujuh bulan untuk dikebumikan, namun pemandu kontraktor yang diamanahkan Jakoa untuk menghantar ke kampung tidak memberikan kerjasama apabila dia memberitahu kerja penghantaran hanya melibatkan perjalanan dari Kuala Krai ke Gua Musang.