Pengenalan tulisan jawi perlu disusuli penjelasan berterusan

Gambar kecil: Sivamurugan
Gambar kecil: Sivamurugan
A
A
A

SHAH ALAM - Tiada masalah untuk Kementerian Pendidikan (KPM) meneruskan langkah memperkenalkan tulisan jawi dalam mata pelajaran Bahasa Melayu di peringkat sekolah rendah pada tahun hadapan.

Cadangan itu dikemukakan Ahli Sosiologi Politik, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Sivamurugan Pandian meskipun kerajaan kini berdepan tekanan hebat daripada banyak persatuan Cina dan aktivis sosialis yang menuntut supaya langkah itu dimansuhkan atau sekurang-kurangnya ditangguhkan.

Bagaimanapun, beliau berharap kerajaan menerusi KPM dapat meredakan pelbagai polemik yang timbul dengan mengadakan penjelasan terhadap keperluan memperkenalkan tulisan jawi di peringkat sekolah rendah secara berterusan.

"Bagi saya, perlu dilihat mengapa isu ini muncul sehingga ianya dipolitikkan beberapa badan bukan kerajaan, sedangkan tulisan jawi pernah diperkenalkan sebagai satu mata pelajaran suatu ketika dahulu.

"Secara peribadi, saya melihat langkah memperkenalkan tulisan jawi tidak memberi kesan langsung kepada pelajar bukan Islam kerana ianya dimartabatkan bersandarkan faktor sejarah.

"Saya juga tidak nampak isu pengenalan tulisan jawi boleh membawa tindakan protes, melainkan ada perkara dilihat badan bukan kerajaan terlibat yang tidak dilihat oleh kita," katanya kepada Sinar Harian.

Sivamurugan berkata, langkah memberikan penjelasan terhadap pengenalan tulisan jawi oleh KPM dijangka akan memberikan pemahaman lebih besar terhadap isu itu dengan punca polemik penolakan terhadapnya akan dapat dikenal pasti.

ARTIKEL BERKAITAN: Kongres Jawi Kebangsaan usul resolusi tangguh jawi di sekolah

Artikel Berkaitan:

Penganjur pertimbang bawa isu jawi ke mahkamah

Menurutnya, penjelasan berterusan diberikan KPM juga mestilah bersedia untuk difahami pihak memprotesnya dengan semua pihak perlu melihat aspek pendidikan sebagai teras utama pembangunan negara.

"Sekiranya satu pihak terus protes dan satu lagi pihak bertekad untuk melaksanakannya, isu pokok tidak akan dapat dilaksanakan.

"Saya fikir pelaksanaan langkah memperkenalkan tulisan jawi di sekolah rendah perlu diteruskan tetapi inisiatif penjelasan berterusan terhadap mana-mana pihak mempersoalkannya perlu dipertingkatkan supaya pada akhirnya, mereka yang terbabit secara langsung dengan pendidikan negara seperti pelajar, guru dan ibu bapa tidak menjadi mangsa keadaan," katanya.