Penganjur pertimbang bawa isu jawi ke mahkamah

Arun Dorasamy (tiga dari kiri) mengangkat tangan wakil NGO Melayu yang juga Presiden Gelombang Rakyat Malaysia, Ellie Suriati Omar.
Arun Dorasamy (tiga dari kiri) mengangkat tangan wakil NGO Melayu yang juga Presiden Gelombang Rakyat Malaysia, Ellie Suriati Omar.
A
A
A

PETALING JAYA - Penganjur Kongres Jawi Kebangsaan mempertimbangkan untuk membawa isu pelaksanaan jawi ke mahkamah sekiranya gagal mendapat persetujuan dan penyelesaian bersama Kementerian Pendidikan (KPM).

Setiausaha Gabungan Seni Khat Action Team (Sekat) Nasional, Arun Dorasamy bagaimanapun berkata, matlamat utama mereka adalah untuk mengadakan dialog bersama kementerian.

“Motif kita adalah untuk adakan dialog dan kita harap kementerian boleh mula berdialog dengan kita dan seperti yang kita hujahkan sebelum ini. Dialog perlu ada penglibatan semua kaum termasuk dari Sabah dan Sarawak untuk isu ini.

“Kalau dialog-dialog ini gagal dan kita tiada cara lain untuk mengatasi isu ini, kita akan pergi ke mahkamah,” katanya pada sidang media selepas Kongres Jawi Kebangsaan di sini hari ini.

Beliau berkata, sekiranya isu tersebut dibawa ke mahkamah, ia akan melibatkan lebih banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Kalau kita pergi ke mahkamah, kes kita akan menjadi ‘collective case’. Ia bukan sahaja melibatkan Jawatankuasa Pembelajaran Jawi di Kuala Lumpur dan Selangor, Sekat malah lain-lain NGO yang ingin bersama kita.

“Ini adalah isu kebangsaan dan kita ingin buat representasi di mahkamah secara bersama,” katanya.

Kongres Jawi Kebangsaan diadakan bagi menyatakan bantahan terhadap pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran tulisan jawi di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) pada tahun depan.

Artikel Berkaitan:

Enam penceramah termasuk kolumnis sosial, Dr Mohd Tajuddin Mohd Rasdi dan aktivis sosial, Siti Zabedah Kassim diundang menyuarakan pandangan mereka.

Dalam pada itu, Arun menegaskan mereka enggan jawi menjadi subjek wajib lulus, sebaliknya hanya sebagai pilihan tetapi mereka menyerahkan keputusan tersebut kepada kementerian.

Menurutnya, selaku penganjur yang mengumpulkan pelbagai kumpulan bagi membantah pembelajaran jawi di sekolah vernakular, mereka hanya membuat cadangan mengenai perkara itu.

"Kami tidak mengambil alih tugas Kementerian Pendidikan.

"Mungkin Kementerian Pendidikan, menteri (Dr Maszlee Malik) atau pihak lain mempunyai idea yang lebih baik, jadi terpulang kepada kementerian (untuk memutuskan)," katanya