Petani, pekebun disaran amal sistem pengurusan tanah sihat

Mohideen (tiga dari kiri) bersama para pelajar yang menyertai Sambutan Hari Tanah Sedunia di Pejabat CAP pada Selasa.
Mohideen (tiga dari kiri) bersama para pelajar yang menyertai Sambutan Hari Tanah Sedunia di Pejabat CAP pada Selasa.
A
A
A

GEORGE TOWN - Petani, pekebun dan orang ramai disarankan mengamalkan sistem pengurusan tanah yang sihat untuk membantu mencegah degradasi tanah dan seterusnya komplikasi yang timbul.

Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader berkata, keadaan tanah di Malaysia bersifat lapuk, berasid dan tidak begitu subur untuk pengeluaran tanaman.

Menurutnya, kebanyakan nutrien tumbuhan di tanah telah dilarutresap akibat luluhawa tropika yang tinggi.

"Tanah biasanya berasid dan mempunyai jumlah bahan organik yang rendah. Terdapat enam jenis tanah utama di Semenanjung Malaysia iaitu tanah marin, sungai, sedentari, diolah semula, Permatang Pantai Berselang-seli dengan Swales (BRIS) serta tanah organik.

"Lokasi dan aras jenis tanah menghasilkan zon tumbuh-tumbuhan yang tersendiri. Tanah menyumbang dengan ketara kepada sektor pertanian dengan menyokong pertumbuhan tanaman yang penting untuk bekalan makanan kita, memastikan keterjaminan makanan kita.

"Tanah bertindak sebagai medium untuk pertumbuhan tanaman, menyediakan nutrien, air dan penempatan akar. Oleh demikian, kita perlu memgamalkan sistem pengurusan tanah yang sihat," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Mohideen berkata, tanah yang sihat mempunyai kapasiti yang tinggi untuk menyerap dan mengekalkan air seperti span.

"Perubahan iklim memberi kesan yang besar kepada kesihatan tanah dan perubahan dalam taburan hujan serta kejadian cuaca ekstrem yang lebih kerap seperti hujan lebat atau kemarau yang berpanjangan.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, ia akan peningkatan suhu akan mempercepatkan proses degradasi tanah, meningkatkan hakisan serta pengurangan nutrien. Dalam pada itu, aktiviti manusia termasuk penebangan hutan, amalan pertanian intensif dan pembangunan, mempercepatkan hakisan serta degradasi tanah," katanya.

Tambah beliau, aktiviti-aktiviti itu mengganggu kestabilan tanah, memburukkan lagi hakisan dan mengurangkan kesuburan tanah menyebabkan pengurangan peresapan air serta menjejaskan keupayaannya untuk mengekalkan kehidupan tumbuhan.

"Bagi menangani isu-isu itu, CAP menjalankan pelbagai kempen kesedaran untuk menekankan kepentingan pemuliharaan tanah dan aktif dalam menyokong pengurusan tanah yang mampan melalui kaedah organik.

"CAP membuat kompos daripada sisa-sisa kebun seperti daun rumpai dan sisa-sisa dapur. CAP juga menghasilkan baja dan penghalau perosak secara organik dengan menggunakan amalan pertanian asli," katanya.

Tambahnya, baja organik dan penghalau perosak memainkan peranan penting dalam mengurangkan sisa agrokimia, mengawal hakisan tanah serta mengekalkan biodiversiti tanah.

"Kita perlu menyebarkan kesedaran tentang kepentingan tanah. Kami menggalakkan orang ramai untuk berkongsi maklumat tentang Hari Tanah Sedunia dan kepentingannya," katanya.