Pahang terima komitmen pelaburan RM10.415 bilion Januari hingga Jun

Mohammad Fakhruddin semasa Sidang DUN Pahang ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini pada Selasa.
Mohammad Fakhruddin semasa Sidang DUN Pahang ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini pada Selasa.
A
A
A

KUANTAN - Pahang meraih pelaburan komited sebanyak RM10.415 bilion dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini bermula Januari hingga Jun.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM9.575 bilion merupakan pelaburan langsung asing dan RM839.4 juta daripada pelaburan langsung domestik.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, jumlah tersebut berdasarkan pelaburan yang dibawa masuk melalui Perbadanan Setiausaha Kerajaan (PSK) dan Majlis Pembangunan Ekonomi Wilayah Timur (ECERDC).

Menurutnya, kerajaan negeri kini sedang memfokuskan usaha dan pelan tindakan ke arah menambah baik infrastruktur untuk menyokong inisiatif menarik lebih banyak pelaburan ke Negeri Pahang.

"Antaranya kerja-kerja menaiktaraf Pelabuhan Kuantan dan memastikan pembinaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) disiapkan dengan segera seiring dengan pelan pembangunan Daerah Kecil Gebeng yang dijangka mampu menjadi hub logistik nasional menjelang 2027.

"Projek ECRL akan dijadikan pemangkin pembangunan setempat menerusi strategi Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD) mengikut penetapan fokus pelaburan sektor hiliran," katanya.

Beliau berkata demikian mewakili Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi Dan Inovasi Negeri, Datuk Mohamad Nizar Mohamad Najib menjawab soalan dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mentakab, Woo Chee Wan semasa Sidang DUN Pahang ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini pada Selasa.

Mohammad Fakhruddin berkata, pelaksanaan projek mega pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuantan juga perlu direalisasikan bagi menaik taraf jaringan pengangkutan dan meningkatkan nilai tambah Pahang sebagai gerbang pelaburan pantai timur ke Asia Tenggara.

Artikel Berkaitan:

"Dalam usaha menarik pelabur ke Pahang, pelbagai inisiatif dan kemudahan disediakan kerajaan negeri bagi mempertingkatkan prestasi serta daya saing menarik pelaburan.

"Antaranya peranan Bahagian Pelaburan dan Penswastaan (BPP) sebagai agensi sehenti bagi memudah cara urusan pelaburan bersama syarikat-syarikat berkaitan kerajaan serta agensi-agensi teknikal di peringkat negeri dan persekutuan. khususnya berkaitan tawaran insentif kepada projek-projek pelaburan yang berimpak tinggi," ujarnya.

Sementara itu, katanya, kerajaan negeri Pahang turut mengaplikasikan strategi pelaburan berasaskan lokasi di mana lokasi projek ditentukan mengikut zon sektor kluster industri.

"Contohnya, Seksyen 1, Gebeng ( Pelabuhan Kuantan dan Taman Industri Petro Chemical), Seksyen 2, Gebeng (industri berat dan sederhana), Seksyen 3,Gebeng (hub industri perkayuan, industri digital dan teknologi), Seksyen 4, Gebeng (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuantan dan Bandar Aeroangkasa) dan kawasan industri maritim, perkilangan dan pembuatan Tanjung Agas," jelasnya.