Hanya tiga muka surat, mengapa masih berkeras?

No Image Caption
A
A
A

WALAUPUN kerajaan memutuskan pengenalan tulisan jawi dalam mata pelajaran bahasa Melayu kepada murid tahun empat sekolah jenis kebangsaan (SJK) bermula tahun depan hanya dilakukan jika dipersetujui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta ibu bapa dan murid, namun sehingga kini masih ramai tidak memahami pelaksanaan tersebut.

Perkara itu diputuskan daripada hasil mesyuarat Jemaah Menteri pada 14 Ogos lalu bahawa pengenalan tulisan jawi dalam mata pelajaran bahasa Melayu kepada murid tahun empat SJK diteruskan mulai tahun depan.

Mengimbas kembali kenyataan dikeluarkan Kementerian Pendidikan, Jemaah Menteri turut mengekalkan keputusan untuk pengenalan tulisan jawi dimuatkan sebanyak tiga muka surat di dalam buku teks serta tidak dinilai dalam apa-apa ujian atau peperiksaan.

"Mesyuarat Jemaah Menteri turut menetapkan supaya tulisan jawi ini dikekalkan dengan nama pengenalan tulisan jawi dan bukannya khat dan hanya diperkenalkan secara pilihan pada peringkat asas sahaja kepada murid tahun empat mulai tahun 2020, murid tahun lima pada tahun 2021 dan murid tahun enam pada tahun 2022 di SJK.

"Pelaksanaannya bagaimanapun hanya dilakukan jika dipersetujui oleh PIBG serta ibu bapa dan murid SJK, manakala di sekolah kebangsaan akan diteruskan seperti biasa," menurut kenyataan tersebut.

Berbanding keputusan sebelum ini, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik mengumumkan agar pelaksanaan pengenalan jawi akan dibuat secara pilihan dengan guru diberi kuasa menetapkan kaedah pengajaran serta pengurangan halaman daripada enam kepada tiga muka surat.

Bagaimanapun, ia tetap sekali lagi dibantah segelintir pihak antaranya Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) yang melancarkan petisyen menggesa agar ia dibatalkan.

Sama ada pihak terbabit buat-buat tidak faham atau sebaliknya, ia sebenarnya terpulang kepada mereka yang terlibat untuk meneruskan pembelajaran itu atau tidak.

Artikel Berkaitan:

Namun apa yang menjadi persoalan, mengapa persatuan Cina masih berkeras membantah sehingga sanggup menganjurkan satu program menolak keputusan itu di Kajang kelmarin sehingga hampir mencetuskan kekecohan antara kumpulan penyokong tulisan jawi?

Maka benarlah satu ungkapan peribahasa Melayu iaitu 'beri betis, hendakkan paha', justeru itu apa lagi yang dimahukan pihak terlibat kerana pada akhirnya, terpulang kepada masing-masing sama ada ingin untuk melaksanakannya atau tidak.