ZPP terima RM1.17 juta zakat perniagaan

Mohamad Abdul Hamid (tengah) bersama pembayar zakat korporat dalam Majlis Bayaran Zakat Korporat dan Serahan Zakat Dalam Bentuk Geran Kepada Hospital 2023 pada Isnin.
Mohamad Abdul Hamid (tengah) bersama pembayar zakat korporat dalam Majlis Bayaran Zakat Korporat dan Serahan Zakat Dalam Bentuk Geran Kepada Hospital 2023 pada Isnin.
A
A
A

GEORGE TOWN - Zakat Pulau Pinang (ZPP) menerima RM1.17 juta untuk zakat perniagaan bagi haul tahun 2022 melibatkan enam syarikat korporat secara keseluruhannya.

Enam syarikat korporat tersebut ialah Agro Bank, Perda Ventures Incorporated Sdn Bhd, Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad, Affin Islamic Bank Berhad, CO-OPBANK Pertama Malaysia Berhad serta Koperasi Tunas Muda Sungai Ara dan Subsidiari.

Ketua Pegawai Eksekutif ZPP, Datuk Amran Hazali berkata, bayaran zakat perniagaan kepada ZPP melibatkan RM100,326 (Agro Bank), RM105,276 (Perda Ventures Incorporated Sdn Bhd), RM111,105 (Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad), RM250,000 (Affin Islamic Bank Berhad), RM464,742 (CO-OPBANK Pertama Malaysia Berhad serta RM640,521 (Koperasi Tunas Muda Sungai Ara dan Subsidiari).

Menurutnya, pembayaran zakat ini diagihkan dalam bentuk geran tahunan zakat pada tahun 2023 kepada lima buah hospital dan sebuah klinik kesihatan dengan jumlah keseluruhan RM142,000.

"Pengagihan geran setiap tahun ini dilaksanakan bagi meringankan bebanan pesakit beragama Islam yang kurang berkemampuan.

"Selain itu, ia juga bagi membantu pesakit yang memerlukan pembiayaan menjalani rawatan di hospital yang mana ia diuruskan oleh Jabatan Kerja Sosial Perubatan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Bayaran Zakat Korporat dan Serahan Zakat dalam bentuk geran kepada hospital 2023 di sini pada Isnin.

Majlis disempurnakan Timbalan Ketua Menteri I yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, lima hospital dan satu klinik yang terlibat dalam penyerahan geran tersebut ialah Hospital Pulau Pinang dengan geran RM80,000), Hospital Seberang Jaya (RM35,000), Hospital Bukit Mertajam (RM10,000), Hospital Kepala Batas (RM10,000), Hospital Sungai Bakap (RM5,000) dan Klinik Kesihatan Barat Daya (RM2,000).

Mohamad Abdul Hamid (tengah) bersama penerima zakat korporat dalam Majlis Bayaran Zakat Korporat dan Serahan Zakat Dalam Bentuk Geran Kepada Hospital 2023 pada Isnin.
Mohamad Abdul Hamid (tengah) bersama penerima zakat korporat dalam Majlis Bayaran Zakat Korporat dan Serahan Zakat Dalam Bentuk Geran Kepada Hospital 2023 pada Isnin.

Tambahnya tahun ini, genap 29 tahun ZPP menjadi amil kepada masyarakat Muslim di Pulau Pinang seperti yang diamanahkan oleh MAINPP.

Sementara itu, Mohamad berkata, objektif serahan zakat dalam bentuk geran itu adalah untuk memberikan bantuan kepada pesakit khususnya dari aspek permasalahan psiko-sosial dan sosio-ekonomi.

Katanya, bantuan itu bagi membolehkan pesakit dapat kembali menjadi anggota masyarakat produktif dan boleh berdikari sesuai dengan batas keupayaan yang disebabkan penyakit atau masalah yang dihadapi.

"Saya percaya peningkatan kutipan zakat akan memainkan peranan yang cukup penting dalam membantu penyediaan dana agihan zakat kepada golongan yang memerlukan untuk menjamin kemakmuran hidup masyarakat Muslim di Pulau Pinang pada masa hadapan.

"Menerusi agihan zakat yang efektif dan efisien ini, kita dapat menyaksikan serahan geran tahunan zakat kepada Jabatan Kerja Sosial Perubatan Hospital dan Klinik bagi meringankan bebanan pesakit beragama Islam yang kurang berkemampuan serta memerlukan bantuan pembiayaan bagi menjalani rawatan di hospital dan klinik yang berkenaan," katanya.

Beliau berkata, kestabilan politik dan kemakmuran ekonomi yang dikecapi menjadi agenda penting kerajaan negeri untuk menyokong pembangunan ekonomi dan sosial institusi-institusi yang berkepentingan kepada rakyat Pulau Pinang.