131 kes keganasan rumah tangga dalam tempoh enam bulan

Daerah Kuantan mencatatkan kes keganasan rumah tangga paling tinggi di Pahang bagi tempoh enam bulan dengan 41 kes, diikuti Maran (15 kes) - Gambar hiasan (Gambar kecil: Sabariah)
Daerah Kuantan mencatatkan kes keganasan rumah tangga paling tinggi di Pahang bagi tempoh enam bulan dengan 41 kes, diikuti Maran (15 kes) - Gambar hiasan (Gambar kecil: Sabariah)
A
A
A

KUANTAN - Sebanyak 131 kes keganasan rumah tangga dilaporkan di Pahang bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini.

Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri, Datuk Sabariah Saidan berkata, daripada jumlah itu daerah Kuantan mencatatkan kes paling tinggi dengan 41 kes, diikuti 15 kes di Maran.

"Bagi daerah Temerloh pula sebanyak 13 kes; Rompin (11 kes), Jerantut (12 kes), Bera dan Bentong masing-masing 10 kes.

"Seterusnya tujuh kes di Pekan, enam kes pula di Kuala Lipis manakala Raub lima kes dan Cameron Highlands hanya satu kes," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Woo Chee Wan (PH-Mentakab) dalam sesi pertanyaan lisan Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-2 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang pada Isnin.

Chee Wan ingin mengetahui jumlah kes keganasan rumahtangga yang berlaku dan apakah faktor-faktor yang menyebabkan terjadinya masalah itu serta langkah diambil kerajaan Pahang dalam membendung perkara itu.

Sabariah memaklumkan faktor-faktor yang menyebabkan terjadinya keganasan berdasarkan 384 laporan polis diterima sepanjang 2022 sehingga Jun tahun ini adalah perselisihan faham antara suami isteri dengan 296 kes daripada jumlah keseluruhan laporan polis.

"Masalah kewangan 38 kes; masalah anak pula sebanyak sembilan kes, lima kes cemburu, mabuk (13 kes) manakala masing dua kes perebutan harta dan perebutan anak, proses penceraian (satu kes), masalah keluarga (5 kes) dan penyalahgunaan dadah 13 kes direkodkan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam prosiding itu, Sabariah memaklumkan antara langkah-langkah yang diambil kerajaan Pahang adalah dengan mengadakan pelbagai aktiviti dan program yang dilaksanakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui pencegahan dan pemulihan.

Ujarnya, pencegahan itu dilaksanakan dengan mengadakan kempen kesedaran keganasan rumah tangga menggunakan platform ceramah, forum, hebahan, pameran dan risalah.

"Talian kasih iaitu 15999 juga adalah salah satu inisiatif kerajaan bagi memudahkan mangsa keganasan rumah tangga melaporkan kejadian tersebut," katanya.

Selain itu, Sabariah berkata, rawatan dan pemulihan disediakan kepada mereka yang terlibat dengan menjalani sesi kaunseling bagi membantu mangsa kembali pulih dari segi emosi, fizikal, dan fisiologinya.

"Kaunselor ini boleh didapati di PDRM, JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) dan hospital," katanya.