Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

RINGGIT dibuka tinggi berbanding dolar AS pada pagi urus niaga Isnin, disokong oleh perkembangan luaran yang positif.

Pada jam 9.10 pagi, ringgit menambah nilai kepada 4.6575/6625 berbanding dolar AS daripada penutupan dagangan Jumaat pada paras 4.6710/6760.

Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, ringgit akan kekal terkawal menjelang mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) Amerika Syarikat minggu depan.

Beliau berkata, tumpuan utama akan diberikan kepada Penyata Gaji Bukan Ladang (NFP) AS kerana ini akan memberi petunjuk kekuatan dalam pasaran buruh yang bergerak baik seiring dengan mandat Rizab Persekutuan (Fed), antaranya adalah untuk mencapai pekerjaan maksimum.

"Sekiranya NFP ternyata lebih rendah daripada jangkaan, perbincangan mengenai kemungkinan peralihan dalam pendirian monetari akan mendapat lebih perhatian. Buat masa ini, ringgit akan diniagakan secara berhati-hati kerana Rizab Persekutuan masih mengambil sikap berwaspada terhadap risiko inflasi,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, ringgit diniaga kebanyakannya rendah berbanding mata wang utama yang lain kecualii euro yang mana ringgit meningkat kepada 5.0641/0695 daripada 5.0900/0954 Jumaat lepas.

Mata wang tempatan menyusut nilai berbanding pound Britain kepada 5.9038/9122 daripada 5.9014/9077 dan lemah berbanding yen Jepun kepada 3.1777/1813 daripada 3.1591/1627 sebelumnya.

Sementara itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang Asean yang lain.

Artikel Berkaitan:

Mata wang tempatan agak tinggi berbanding rupiah Indonesia kepada 300.7/301.2 daripada 301.5/302.1 dan meningkat berbanding peso Filipina kepada 8.41/8.43 daripada 8.43/8.44 Jumaat lepas.

Nilai ringgit hampir tidak berubah berbanding dolar Singapura pada 3.4927/4967 daripada 3.4973/5016 tetapi susut berbanding baht Thai kepada 13.3952/4153 daripada 13.3301/3505 pada Jumaat. - Bernama