Piala Cabaran MFL milik PDRM FC

PDRM muncul juara Piala Cabaran MFL 2023 selepas menewaskan Kuching City FC. - Foto FB MFL
PDRM muncul juara Piala Cabaran MFL 2023 selepas menewaskan Kuching City FC. - Foto FB MFL
A
A
A

PDRM FC muncul juara Piala Cabaran MFL 2023 selepas meraih kemenangan secara agregat 4-1 ke atas Kuching City FC.

Berbekalkan kelebihan tiga gol hasil aksi final pertama di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Rabu lalu, keputusan seri 1-1 dalam aksi final kedua di Stadium Negeri, Kuching sebentar tadi sudah cukup buat The Cops mengesahkan kejuaraan.

Ia adalah trofi ketiga buat PDRM FC dalam kancah domestik selepas mereka sudah pun memenangi kejuaraan Liga Perdana pada musim 2007 dan 2014.

Dalam aksi di Stadium Negeri sebentar tadi, Kuching City yang masih mahu memberikan saingan melakukan beberapa gerakan berbahaya sebaik wisel permulaan dibunyikan.

Gol yang dicari-cari akhirnya tiba apabila gerakan pemain tengah Kuching City, Petrus Shitembi melepaskan rembatan kencang ke arah pintu gol PDRM pada minit ke-33.

Bersambung babak kedua, giliran PDRM menekan skuad kendalian Aidil Sharin Sahak, namun ketangkasan penjaga gol, Wan Muhammad Azraie Wan Teh mengekalkan gawang Kuching City daripada dibolosi.

Hasil satu serangan balas, PDRM berjaya menyamakan kedudukan menerusi jaringan penyerang import, Uche Agba pada minit ke-56.

Kedua-dua pasukan cuba bangkit mencari gol tambahan, namun penyudah tumpul menyebabkan keputusan kekal sehingga tamat perlawanan.

Artikel Berkaitan: