Malaysian Tigers ada peluang muncul juara di Hangzhou 2022

Malaysian Tigers - Foto Malaysian Hockey Confederation
Malaysian Tigers - Foto Malaysian Hockey Confederation
A
A
A

SKUAD hoki lelaki negara berpeluang cerah untuk muncul juara di Sukan Asia Hangzhou 2022, China sekali gus meraih slot automatik ke Sukan Olimpik 2024 Paris.

Menerusi undian diadakan pada Selasa, menyaksikan ia memihak kepada anak buah Arul Selvaraj selepas diundi dalam Kumpulan B bersama Korea Selatan, China, Oman, Thailand dan Indonesia.

Walaupun dijangka tidak berdepan masalah melangkah ke separuh akhir, bagaimanapun Malaysian Tigers masih perlu berwaspada dengan ancaman Korea Selatan yang bakal menjadi duri dalam daging menggagalkan usaha muncul juara kumpulan.

Sementara itu, juara bertahan, Jepun pula diundi dalam Kumpulan A bersama India, Pakistan, Bangladesh, Singapura dan Uzbekistan.

Pada Sukan Asia 2018 Jakarta-Palembang, skuad hoki lelaki negara terlepas peluang meraih emas selepas tumpas kepada Jepun pada aksi final di temasya itu.

Dalam pada itu, bagi saingan hoki wanita menyaksikan Malaysia diundi dalam Kumpulan A bersama naib juara edisi 2018 India, Korea Selatan, Hong Kong dan Singapura.

Juara bertahan, Jepun pula mengetuai saingan Kumpulan B bersama China, Thailand, Kazakhstan dan Indonesia. - Bernama

Artikel Berkaitan: