Pahang Rangers tebus kehampaan, muncul juara MPFL

Pemain Pahang Rangers meraikan kejayaan muncul juara MPFL 2023. - Foto FB FAM
Pemain Pahang Rangers meraikan kejayaan muncul juara MPFL 2023. - Foto FB FAM
A
A
A

PAHANG Rangers berjaya menebus kehampaan apabila muncul juara Liga Futsal Perdana Kebangsaan (MPFL) 2023 selepas menewaskan Johor Darul Ta'zim (JDT) dengan agregat 9-6 di Stadium Bandaraya Pasir Gudang, Johor, pada Isnin.

Pengendali Pahang Rangers, Gerard Casas Ullastre mengakui, ia kejuaraan yang amat bermakna apatah lagi pemburuan panjang skuad Pantai Timur itu untuk muncul juara MPFL selepas hanya bergelar naib juara untuk edisi 2019 dan 2022.

"Ini semua adalah hasil usaha keras pemain dan mereka berhak untuk meraih kemenangan ini. Terima kasih kepada pemain dan semua pihak yang mempercayai proses ini membolehkan Pahang Rangers muncul juara.

"Selain itu, penyokong Pahang Rangers juga sangat luar biasa. Jika saya meninggalkan Pahang sekalipun, saya akan merindui mereka kerana merekalah penyokong sebenar. Bagi saya, merekalah juara sebenar,” katanya.

Pahang Rangers yang membawa bekalan selesa menang 7-3 pada perlawanan akhir pertama diberikan tentangan sengit oleh JDT yang cuba mencipta kebangkitan.

Namun, kemenangan 3-2 diraih oleh JDT pada perlawanan kedua itu belum cukup untuk menghalang aura kemenangan Pahang Rangers.

Dalam pada itu, pengendali JDT, Juan Antonio Miguel Garcia memohon maaf selepas gagal mengemudi pasukan itu menjadi juara MPFL.

Menurutnya, pasukan itu akan bangkit dan menjadi sebuah kelab yang amat digeruni pada masa akan datang.

Artikel Berkaitan:

"Skuad kami masih baharu dan saya yakin skuad ini akan berkembang pesat dengan latihan dan intensiti yang akan ditingkatkan dari semasa ke semasa," katanya.