Sindiket tumpas, pil yaba bernilai RM385,330 dirampas

Mazli (tengah) menunjukkan antara dadah yang dirampas dalam dua serbuan di tepi jalan Kampung Kubang Depu, di Jertih, Besut Rabu lalu.
Mazli (tengah) menunjukkan antara dadah yang dirampas dalam dua serbuan di tepi jalan Kampung Kubang Depu, di Jertih, Besut Rabu lalu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah susulan penahanan dua lelaki dalam serbuan yang dijalankan di tepi jalan Kampung Kubang Depu, di Jertih, Besut Rabu lalu.

Lelaki tempatan berusia 19 dan 31 tahun itu ditahan dalam dua serbuan berasingan oleh sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu bermula jam 9 hingga 12 tengah malam.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan berkata, hasil serbuan itu polis merampas dadah jenis pil Yaba dianggarkan bernilai RM385,330 disyaki untuk pasaran tempatan.

"Polis merampas sebanyak 1,760 gram pil Yaba bernilai RM93,500 dalam serbuan pertama dan 5,335 gram pil yang sama bernilai RM291,500 dalam serbuan kedua dengan jumlah keseluruhan rampasan 7,095 gram.

"Sebuah kenderaan jenis Honda City turut dirampas dan motosikal jenis Yamaha berjaya disita dari salah seorang suspek," katanya pada sidang akhbar di sini, pada Ahad.

Mazli menunjukkan antara lokasi suspek ditahan di jalan Kampung Kubang Depu, di Jertih, Besut Rabu lalu.
Mazli menunjukkan antara lokasi suspek ditahan di jalan Kampung Kubang Depu, di Jertih, Besut Rabu lalu.

Menurut Mazli, kedua-dua suspek direman selama tujuh hari bermula 30 November lalu bagi membolehkan siasatan dilakukan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.

Beliau berkata, pihaknya percaya dadah yang dirampas itu untuk kegunaan sehingga 58,000 individu yang terlibat dalam penyalahgunaan bahan terlarang itu.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Mazli berkata, polis Terengganu berjaya menumpaskan tujuh sindiket pengedaran dadah di seluruh Terengganu dan telah menangkap 18 ahli sindiket bermula Januari hingga November tahun ini.

"Sebanyak 16,408 gram pil Yaba, 2,451 gram (Syabu), 5,000 gram (ganja) dan 58,89 eramin 5 telah dirampas sepanjang tempoh itu," katanya.

Beliau berkata, bagi tangkapan lain seramai 1,106 orang telah ditahan melibatkan kategori bekalan, 2,147 (memiliki) dan 6,041 (kes urin).

"Seramai 964 penagih tegar menjalani proses pendakwaan di bawah Seksyen 39C ADB 1952. Jika sabit kesalahan akan dikenakan hukuman penjara sekurang-kurangnya lima tahun dan maksimum tujuh tahan serta tidak lebih tiga kali sebatan," katanya.