Polis Terengganu rampas lebih 7kg pil yaba

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Polis merampas lebih tujuh kilogram (kg) pil yaba bernilai RM385,330 menerusi dua serbuan berasingan di sekitar Jerteh, Besut dekat sini pada Rabu lepas.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan berkata, dalam operasi pada jam 9 hingga 12 malam, polis menahan dua lelaki tempatan berusia 19 dan 31 tahun dipercayai daripada sindiket sama kerana disyaki terlibat dalam kegiatan pengedaran bahan terlarang itu.

"Sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu telah melancarkan dua serbuan di lokasi sama iaitu di tepi jalan Kampung Kubang Depu, Jerteh.

"Pada serbuan pertama, polis merampas 1,760 gram (g) pil yaba bernilai RM93,500, manakala pada serbuan kedua sebanyak 5,335g pil sama dirampas berjumlah RM291,500," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Mazli berkata, hasil operasi itu polis turut merampas sebuah kereta jenis Honda City dan menyita sebuah motosikal jenis Yamaha Y15ZR.

"Kesemua dadah dipercayai diperoleh dari negara jiran ini boleh digunakan oleh 58,000 penagih tempatan dan suspek kini direman sehingga 6 Disember bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952," katanya.

Mazli berkata, siri tangkapan tersebut menjadikan keseluruhan sebanyak tujuh sindiket pengedaran dadah di negeri itu berjaya dilumpuhkan sejak Januari hingga November tahun ini dengan 18 individu telah ditahan.

Beliau berkata, pil yaba adalah yang tertinggi dirampas pihaknya iaitu sebanyak 16,408g, diikuti ganja (5,000g), syabu (2,451g), dan Eramin 5 (58.89g).

Artikel Berkaitan:

Katanya, sebanyak 1,106 orang telah ditahan bagi kategori bekalan, 2,147 (kategori memiliki) dan 6,041 (kes-kes urin) manakala 964 orang penagih tegar telah dituduh mengikut Seksyen 39C ADB 1952 bagi tempoh sama. - Bernama