Pahang sasar 160 stesen pengecas EV menjelang 2025

Wan Rosdy mencuba EV keluaran Chery sempena pelancaran pusat khidmat 4S Chery Malaysia di Kawasan Perindustrian Semambu, Kuantan pada Ahad.
Wan Rosdy mencuba EV keluaran Chery sempena pelancaran pusat khidmat 4S Chery Malaysia di Kawasan Perindustrian Semambu, Kuantan pada Ahad.
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Pahang menyasarkan untuk memasang 160 stesen pengecasan kenderaan elektrik (EV) di negeri ini menjelang tahun 2025.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, langkah itu bagi membantu meningkatkan lagi pemilikan kenderaan EV dalam kalangan rakyat Pahang.

Menurutnya, berdasarkan jangkaan, jualan kenderaan EV akan mencapai empat kali ganda tahun ini didorong insentif seperti cukai jalan percuma sehingga 2025 dan pengecualian duti import.

Wan Rosdy (lima dari kanan) menyempurnakan upacara memotong reben sebagai gimik pelancaran pusat khidmat 4S Chery Malaysia di Kawasan Perindustrian Semambu, Kuantan pada Ahad.
Wan Rosdy (lima dari kanan) menyempurnakan upacara memotong reben sebagai gimik pelancaran pusat khidmat 4S Chery Malaysia di Kawasan Perindustrian Semambu, Kuantan pada Ahad.

"Setakat ini beberapa stesen pengecasan telah dipasang namun belum mencukupi, jadi kerajaan negeri akan tambah lagi kemudahan itu bagi memenuhi keperluannya.

"Bila kita bercakap tentang EV ini, ramai yang masih bimbang tentang kemudahan stesen pengecasan di destinasi tujuan. Mereka risau tidak sempat patah balik, bateri habis di tengah jalan sebab itu ia akan ditambah lagi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Pusat Pameran, Jualan, Servis dan Alat Ganti (4S) Chery Malaysia di Kawasan Perindustrian Semambu di sini pada Ahad.

Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri juga sedia mempertimbangkan penggunaan EV sebagai kenderaan rasmi pada masa akan datang.

Artikel Berkaitan:

"Kita (kerajaan negeri) bagaimanapun tidak boleh membuat keputusan terburu-buru dalam perkara ini kerana ia masih baharu.

"Sekiranya kenderaan ini terbukti lebih baik, tiada masalah untuk kita gunakan tapi bukan dalam masa terdekat," jelasnya.

Terdahulu dalam ucapannya, Wan Rosdy berkata, pusat khidmat 4S Chery Malaysia di Semambu di sini adalah yang terbesar di pantai timur.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada Chery Malaysia kerana memilih Kuantan sekali gus menunjukkan keyakinan pelabur asing terhadap potensi dan pertumbuhan ekonomi di negeri ini," ujarnya.