Johor cadang sistem QR Code di CIQ tahun depan

Onn Hafiz
Onn Hafiz
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Tiga perkara dicadangkan Johor kepada Pusat bagi melancarkan pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (SEZ).

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, cadangan pertama adalah mempertimbangkan pelaksanaan kaedah digital sistem QR Code bagi pergerakan keluar masuk Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), di negeri ini bermula 1 Januari tahun depan.

"Kaedah digital ini akan melancarkan pergerakan pekerja dan barang dagangan, inisiatif seperti 'multiple entry Visa', pas khas dan kakitangan Imigresen dan Kastam yang mencukupi amat diperlukan.

"Kaedah digital yang sama dengan Singapura ini penting bagi melancarkan pergerakan di sempadan yang tersibuk di dunia ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan pada mesyuarat keempat (Belanjawan 2024) Persidangan Kedua Dewan Undangan Negeri Johor ke-15 di Bangunan Sultan Ismail di sini pada Ahad.

Tambah Onn Hafiz, cadangan kedua pula ialah melengkapkan infrastruktur utama seperti laluan khas daripada Link Kedua ke Forest City, pembinaan Transit Aliran Ringan (LRT), kereta api berkelajuan tinggi (HSR), servis feri, dan kemudahan 'landing point' untuk Air Taxi.

Cadangan ketiga pula berkaitan cadangan insentif fiskal merangkumi insentif percukaian seperti cukai korporat dan individu, duti eksais, dan 'investment tax allowance'.

"Zon Kewangan Khas (SFZ) di Forest City, merupakan sebahagian daripada SEZ juga akan menarik pemain industri kewangan antarabangsa, khususnya dari Singapura untuk mengembangkan cawangan atau perkhidmatan sokongan mereka di Forest City.

Artikel Berkaitan:

"Johor juga akan terus memberikan perhatian dan komitmen kepada pembangunan ekonomi seperti Ibrahim International Business District (IIBD) dan pembangunan Ibrahim Technopolis (IBTEC).

“Insya-ALLAH dengan semua ini, lebih banyak pelaburan yang berkualiti akan kita terima, sekali gus mewujudkan rantaian ekonomi yang panjang seperti peluang pekerjaan dengan gaji yang tinggi, yang akhirnya akan memberi manfaat bukan sahaja kepada bangsa Johor tetapi juga kepada rakyat Malaysia keseluruhannya,” katanya.