Perancangan rapi julang MUFT di podium Piala Pra U

MUFT muncul juara Piala Pra U selepas menewaskan AMD, 2-0 dalam perlawanan akhir di Akademi Mokhtar Dahari, Gambang, Kuantan
MUFT muncul juara Piala Pra U selepas menewaskan AMD, 2-0 dalam perlawanan akhir di Akademi Mokhtar Dahari, Gambang, Kuantan
A
A
A

KEJAYAAN Malaysia University Football Team (MUFT) merangkul kejuaraan Piala Pra U edisi ketiga selepas menewaskan Akademi Mokhtar Dahari (AMD), 2-0 dalam perlawanan akhir di Stadium AMD, Gambang, Kuantan disifatkan hasil perancangan rapi pengurusan pasukan.

Pengendali MUFT, Ridzuan Abu Shah berkata, pemilihan yang tepat bagi mengharungi kejuaraan edisi 2023 membantu pasukan merangkul kejuaraan pada kali ini.

“Alhamdulillah, syukur atas izin-Nya, MUFT berjaya merampas kejuaraan yang dipegang AMD bagi dua edisi berturut-turut.

“Kejayaan ini hasil daripada pemilihan pemain yang dibuat berdasarkan database pemain dari kejohanan Piala Pra U dua edisi sebelum ini yang mana pemain-pemain dari AMD, Akademi Felda yang melanjutkan pelajaran di peringkat IPT.

Aksi menarik MUFT menentang AMD dalam perlawanan akhir di Stadium AMD, Gambang, Kuantan.
Aksi menarik MUFT menentang AMD dalam perlawanan akhir di Stadium AMD, Gambang, Kuantan.

“Pemain-pemain yang memiliki pengalaman dalam kejohanan ini dikumpul dalam satu program latihan dan diberi penekanan dalam aspek kecergasan dan taktikal sebagai persediaan menghadapi kejohanan edisi ketiga 2023, dan hasilnya kita berjaya menjulang trofi bagi edisi ini,” katanya kepada Sukan Sinar.

Dalam perlawanan akhir itu, kedua-dua pasukan tampil dengan misi berbeza, namun matlamat sama iaitu menjuarai edisi ketiga kejuaraan anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang mendapat sokongan Majlis Sukan Negara (MSN).

MUFT kendalian Ridzuan tampil dengan misi besar iaitu mengakhiri kemarau pemburuan kejuaraan selepas tewas dalam perlawanan akhir sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

AMD kendalian Mohd Fauzzi Mohd Kassim pula mengintai peluang merangkul kejuaraan hatrik selepas mengekalkan dominasi dalam dua edisi terakhir sebelum ini.

Namun dua gol separuh masa pertama jaringan Abdul Rahman Daud (m-38) diikuti jaringan masa kecederaan Muhammad Muhaimin Nor Azri sudah cukup membolehkan MUFT merangkul kejuaraan sulung pada percubaan kali ketiga di pentas final.

Kesebelasan utama MUFT.
Kesebelasan utama MUFT.

Mengenai cabaran selepas menjulang kejuaraan edisi 2023, Ridzuan berkata, “Mempertahankan kejuaraan adalah lebih sukar daripada memenangi, namun MUFT akan jadikan kejuaraan ini sebagai batu loncatan membentuk sebuah pasukan yang mantap pada edisi akan datang.

“Tumpuan akan diberikan kepada mencari bakat-bakat baharu terutama produk Piala Pra U yang melanjutkan pelajaran di peringkat IPT dengan menggabungkan pemain baharu dan lama sebagai persediaan kejohanan edisi 2024.”