YaPEIM cari punca kuasa kawal NGO kutip derma - Mohd Na'im

Mohd Na'im (tiga dari kanan) menyampaikan replika kunci rumah penerima bantuan Inspirasiku MyHaus Sasiah Jasli (kiri) pada Program Ziarah Madani YaPEIM Selangor di Masjid Al-Hidayah Telok Panglima Garang, pada Sabtu. - Foto Bernama
Mohd Na'im (tiga dari kanan) menyampaikan replika kunci rumah penerima bantuan Inspirasiku MyHaus Sasiah Jasli (kiri) pada Program Ziarah Madani YaPEIM Selangor di Masjid Al-Hidayah Telok Panglima Garang, pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A
TELOK PANGLIMA GARANG - Kerajaan menerusi Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) sedang berbincang dan mencari punca kuasa bagi mengawal badan bukan kerajaan (NGO) yang mengutip derma kemanusiaan untuk didaftarkan di bawah agensi berkenaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, usaha itu bagi mengelakkan NGO tertentu mengambil kesempatan terhadap kebaikan rakyat di negara ini yang sangat prihatin dengan isu kemanusiaan.

"Dengan cara ini, kita boleh kawal (NGO yang mengambil kesempatan), YaPEIM juga boleh menyenaraihitamkan NGO yang didapati menyeleweng wang yang disumbangkan oleh orang awam.

"Kerajaan tidak mahu pihak ini (NGO) memanipulasi rakyat dengan mewujudkan tabung segera tetapi tidak menyumbangkan kepada mereka yang memerlukan," katanya dalam sidang media selepas program Ziarah Madani YaPEIM Negeri Selangor di Masjid Al-Hidayah di sini pada Sabtu.

Mohd Na'im turut menyeru orang awam supaya memeriksa latar belakang sesebuah NGO sebelum menyalurkan sebarang sumbangan.



"Saya sarankan untuk menderma di Tabung Musaadah Rahmah Madani Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) - Yayasan Wakaf Malaysia (YWM), saya pasti (badan ini akan) memberikan sumbangan rakyat Malaysia kepada rakyat Palestin dan golongan sasar yang memerlukan sumbangan ini.

"Orang ramai juga boleh semak beberapa NGO yang berdaftar di bawah YaPEIM, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutan (MAIWP) dan Yayasan Taqwa," katanya.

Mengulas mengenai program hari ini, beliau berkata, YaPEIM memperuntukkan bantuan sumbangan berjumlah RM277,000, termasuk tiga rumah baharu menerusi program Inspirasiku MyHAUS .

"Hari ini, kami turut mengagihkan bantuan bank makanan kepada 100 penerima berjumlah RM10,000, agihan bantuan Inspirasi Prihatin YaPEIM kepada 40 penerima sebanyak RM10,000 dan agihan tunai RM12,000 kepada Pejabat Pendidikan Kuala Langat.

"YaPEIM turut menganjurkan program Celik Kendiri kepada 100 pelajar dengan kos RM5,000 yang merupakan program motivasi pendidikan kepada pelajar di sekolah rendah dan menengah,” katanya.
Artikel Berkaitan:


Setakat ini, Mohd Na'im berkata, YaPEIM melalui Program Inspirasi MyHAUS telah memperuntukkan lebih RM9 juta membabitkan 200 projek bina baharu dan baik pulih kediaman di seluruh negara sejak hujung 2020.

"Untuk 2023 sahaja, program ini membabitkan 49 projek melibatkan 37 bina baharu dan 12 baik pulih kediaman," katanya. - Bernama