PRK Kemaman: Ahmad Samsuri harap peratusan keluar mengundi tinggi

Ahmad Samsuri ketika ditemui selepas melawat pusat pengundian di Sekolah Kebangsaan Kerteh pada Sabtu.
Ahmad Samsuri ketika ditemui selepas melawat pusat pengundian di Sekolah Kebangsaan Kerteh pada Sabtu.
A
A
A

KEMAMAN - Calon Pas bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengharapkan jumlah peratus pengundi untuk keluar mengundi lebih tinggi pada pilihan raya kali ini meskipun berdepan cabaran musim hujan.

Justeru, Ahmad Samsuri menyeru pengundi agar keluar mengundi awal berikutan dikhuatiri berlaku hujan pada sebelah petang.

"Alhamdulillah kita berharap walaupun ramalan sebelum ini mungkin hadapi risiko hujan tapi pada pagi ini cuaca sangat baik.

"Kita berharap ia bertahan sampai ke petang. Jika boleh supaya semua (pengundi) dapat keluar awal.

"Ini kerana sekurang-kurangnya semua dah keluar mengundi,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat Pusat Pengundian di Sekolah Kebangsaan Kerteh, dekat sini pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri juga berharap suasana di Terengganu agak berbeza untuk memastikan jumlah peratusan lebih tinggi berbanding disasarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang menjangkakan peratusan keluar mengundi kira-kira 70 peratus.

"Kita harap lebih tinggi lagi walaupun memang mana-mana PRK berdepan cabaran. Jadi keluarlah mengundi.

"Cuma kita harap suasana di Terengganu agak berbeza kerana kesedaran daripada pengundi-pengundi itu sendiri. Insya-ALLAH, kita harap lebih baik keluar mengundi,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Pada Jumaat, SPR menjangkakan peratusan keluar mengundi dalam PRK Kemaman pada Sabtu kira-kira 70 peratus.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, ia berdasarkan trend pengundian dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Ogos lalu.

PRK Parlimen Kemaman diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lalu yang membatalkan kemenangan calon Pas, Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

PRK Kemaman dijangka melibatkan belanja RM3.5 juta, membabitkan 2,102 petugas dengan 49 pusat mengundi menerusi 244 saluran.

Parlimen Kemaman mempunyai 141,790 pemilih berdasarkan Daftar Pemilih Tambahan Ogos yang dikemas kini sehingga 3 Oktober, merangkumi 141,382 pengundi biasa, 387 anggota polis, sembilan tentera dan pasangan serta 12 orang pengundi tidak hadir luar negara.

Pada PRU15, calon Pas, Che Alias Hamid memenangi kerusi Parlimen Kemaman selepas memperoleh 65,714 undi menewaskan Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said yang mendapat undi sebanyak 38,535 dengan majoriti 27,179 undi.

Dua lagi calon yang bertanding di Parlimen itu, Rosli Ab Ghani (Pejuang) dan Hasuni Sudin (PH) masing-masing mendapat undi sebanyak 506 dan 8,340.