Pelajar MTIS, Wafa Al-Hana muncul juara hafaz al-Quran

Wafa menerima replika cek yang disampaikan Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad
Wafa menerima replika cek yang disampaikan Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad
A
A
A

TEMERLOH - Pelajar Maahad Tahfiz Al-Istiqamah (MTIS), Temerloh, Wafa Al-Hana Ahmad Fahizmie,14, muncul juara kategori perempuan (Juzuk 1-10) dalam Majlis Menghafaz al Quran Peringkat Negeri Pahang 1445 H/2023 Masihi di Kuantan baru-baru ini.

Anak sulung daripada lapan beradik itu meraih markah sebanyak 90.55 dalam kategori tersebut sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM3,000 berserta sijil dan plak.

Kejayaan itu juga melayakkan Wafa untuk mewakili Pahang ke peringkat kebangsaan tahun hadapan.

Dalam pada itu, Wafa berkata, dia bersyukur dengan kejayaan itu walaupun ia penyertaan kali pertama buatnya dalam pertandingan tersebut.

Wafa ketika memperdengarkan bacaannya dalam pertandingan tersebut
Wafa ketika memperdengarkan bacaannya dalam pertandingan tersebut

Mengakui terkejut, dia menyifatkan kejayaan itu hasil bimbingan dan latihan para pengajar berpengalaman selain sokongan padu serta doa keluarga.

"Ia adalah anugerah ALLAH SWT dan saya akan buat persediaan yang terbaik untuk tahun depan," katanya yang juga anak kepada Imam 2 Masjid Sultan Haji Ahmad Shah di Bentong

Wafa merupakan peserta ke-16 daripada 30 peserta yang memperdengarkan bacaan pada sesi ketiga.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, mudir MTIS, Zarimi Abu Zih Asshubrawi mengakui terharu dengan kejayaan Wafa yang dianggap seorang anak yang rajin menghafaz dan mengulangi al-Quran, istiqamah mengikut jadual ulangan yang telah ditetapkan oleh guru.

Zarimi (tengah) bersama Wafa (Kiri) dan tiga lagi wakil MTIS serta tenaga pengajar bergambar kenangan
Zarimi (tengah) bersama Wafa (Kiri) dan tiga lagi wakil MTIS serta tenaga pengajar bergambar kenangan

"Dia juga sangat beradab dan berakhlak di hadapan guru, inilah asas atau rahsia kejayaan pelajar-pelajar menghafaz al-Quran," katanya.

Dengan slogan 'Membentuk Generasi Rabbani', tiga lagi pelajar MTIS yang layak ke pusingan akhir iaitu Mohamad Hassan Mohd Firdaus, Nurul Asyfa Ibrahim Fikri dan Nir Faqihah Auni Zaharim turut menjadi kebanggaan.

"Sekalung penghargaan buat guru-guru Al-Quran Maahad Tahfiz Al-Istiqamah khususnya jurulatih hafazan dan taranum yang bertungkus-lumus melatih semua peserta daripada MTIS.

"Seluruh warga Al-Istiqamah mendoakan anakanda Wafa yang bakal membawa nama Pahang, dianugerahkan rezeki terbaik di peringkat kebangsaan nanti, insyaALLAH," ujarnya.