Sungai Golok paras bahaya, penduduk dinasihat sedia berpindah

Air Sungai Golok di Rantau Panjang mulai melimpah sejak pagi tadi pada Sabtu. - Foto: Pembaca
Air Sungai Golok di Rantau Panjang mulai melimpah sejak pagi tadi pada Sabtu. - Foto: Pembaca
A
A
A

RANTAU PANJANG - Penduduk dinasihati bersedia untuk berpindah bila-bila masa sahaja apabila paras air Sungai Golok dekat sini sudah melepasi tahap bahaya iaitu 9.63 meter berbanding normal lima meter pada Sabtu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rantau Panjang, Penolong Penguasa Bomba Sapawi Setapa berkata, berdasarkan situasi terkini pihaknya menjangkakan penduduk di beberapa kawasan rendah akan mulai berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) bermula malam ini (Sabtu).

"Jangkaan itu dibuat berpandukan kepada keadaan cuaca terkini serta peningkatan paras air Sungai Golok yang sudah berada pada tahap bahaya.

Dua buah PPS telah dibuka di Rantau Panjang yang menempatkan 381 mangsa bermula malam tadi.
Dua buah PPS telah dibuka di Rantau Panjang yang menempatkan 381 mangsa bermula malam tadi.

"Sehubungan itu, saya menasihatkan penduduk di kawasan rendah supaya membuat persiapan awal dan bersiap sedia untuk berpindah jika keadaan bertambah buruk," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

Menurut beliau, persiapan awal itu penting bagi mengelakkan situasi kelam kabut berlaku semasa kerja-kerja pemindahan dijalankan.

Pada masa sama, Sapawi berkata, golongan ibu bapa turut diingatkan agar membuat pemantauan terhadap atas anak-anak bagi mengelakkan mereka bermain air banjir bagi mengelakkan berlakunya korban akibat bermain air banjir.

Bermula malam tadi, anggota bomba dari BBP Rantau Panjang sudah memindahkan penduduk yang terkesan dengan banjir. - Foto: JBPM (Gambar kanan: Warga emas antara yang diutamakan untuk berpindah lebih awal.)

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, InfoBencanaJKM setakat jam 10 pagi melaporkan, dua PPS sudah diaktifkan di Rantau Panjang iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Gual To'Deh dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Baroh Pial.

Seramai 226 mangsa berlindung di SK Gual To'Deh manakala SMK Baroh Pial, 115 orang.

Jumlah keseluruhan mangsa banjir di Kelantan meningkat kepada 769 orang melibatkan enam PPS di lima jajahan iaitu Pasir Mas (Rantau Panjang), Kota Bharu, Bachok, Tanah Merah dan Machang.