Badang berkelana di luar negara

Mohamad Aniq ketika ini berada di ranking ke-10 dunia. - Foto Agensi (Gambar kecil: Amirul Hamizan)
Mohamad Aniq ketika ini berada di ranking ke-10 dunia. - Foto Agensi (Gambar kecil: Amirul Hamizan)
A
A
A

PERSEKUTUAN Angkat Berat Malaysia (PABM) bakal menghantar dua atlet angkat berat negara, Mohamad Aniq Kasdan dan Muhamad Aznil Bidin berkelana di luar negara sebagai rangka persiapan ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Naib Presiden PABM, Amirul Hamizan Ibrahim berkata, latihan di luar negara itu, pada masa sama memberikan peluang buat Mohamad Aniq dan Muhamad Aznil bersaing sesama sendiri, bagi memburu kedudukan 10 atlet terbaik dunia untuk meraih slot ke Paris.

Mohamad Aniq kini berada di ranking ke-10 dunia manakala Muhamad Aznil di ranking ke-11 dunia. Kelayakan ke Sukan Olimpik hanya dihadkan kepada 10 atlet terbaik dunia sahaja.

“Buat masa ini negara yang menjadi pilihan sama ada China atau Indonesia. Mereka akan berada selama 30 hari di sana, sebelum meneruskan kelayakan akhir pada April 2024.

“Ketika ini Aniq dan Aznil saling memintas satu sama lain, malah perbezaan angkatan mereka pun hanya 1 kilogram (kg),” katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Muhamad Aznil akan berada 30 hari di luar negara sebagai rangka persiapan ke Sukan Olimpik Paris 2024. - Foto Agensi
Muhamad Aznil akan berada 30 hari di luar negara sebagai rangka persiapan ke Sukan Olimpik Paris 2024. - Foto Agensi

Bagaimanapun, Amirul Hamizan berkata kedua-dua atlet itu akan menyertai Kejohanan Angkat Berat Antarabangsa di Qatar pada 12 Disember ini, sebelum pihaknya mengadakan perbincangan dengan Jawatankuasa Road to Gold (RTG), bagi tujuan meminta pelepasan menjalani latihan di luar negara itu.

“Selepas kejohanan itu, kita akan tengok ranking dunia yang baharu kerana selepas itu kita ada lagi dua kelayakan dengan yang terakhir di Pattaya, Thailand pada April 2024.

Artikel Berkaitan:

“PABM kalau boleh mahu cukupkan persediaan mereka, agar apabila menghadapi kelayakan akhir pada April nanti, mereka sudah bersedia sepenuhnya,” katanya.

Beliau berkata peluang masih terbuka buat kedua-dua atlet berkenaan untuk meraih slot ke temasya paling berprestij itu. - Bernama