Belanjawan Perak 2024: Peruntukan untuk rakyat ditingkatkan

Saarani bergambar sebaik selesai menyampaikan pembentangan Belanjawan 2024 Negeri Perak pada Jumaat. - Foto Bernama
Saarani bergambar sebaik selesai menyampaikan pembentangan Belanjawan 2024 Negeri Perak pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

IPOH - Belanjawan Negeri Perak 2024 menyaksikan peningkatan peruntukan membabitkan kesejahteraan rakyat dan pembangunan infra.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, penerima Bantuan Am Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Perak akan menerima bantuan bulanan RM400 pada tahun 2024 berbanding RM300 sebelum ini.

Menurutnya, kerajaan negeri juga bersetuju untuk menggunapakai kadar Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Makanan Isi Rumah 2023 iaitu RM1,198 sebulan sebagai syarat kelayakan bagi permohonan bantuan kewangan yang dikendalikan oleh JKM.

"Sebagai komitmen berterusan kerajaan negeri untuk menyantuni rakyat yang terkesan dengan himpitan ekonomi terutamanya golongan sasar B40, program Kad Perak Sejahtera bagi pembelian barangan keperluan asas keluarga akan diteruskan pelaksanaannya pada tahun hadapan dengan peruntukan RM24 juta.

"Sebagai langkah penambahbaikan, kadar tunai program kad bantuan makanan ini yang telah dinaikkan daripada RM80 kepada RM90 pada tahun 2023 akan ditingkatkan lagi kepada RM100 mulai tahun hadapan," katanya.

Menurutnya, program Kad Perak Sejahtera itu dijangka akan memanfaatkan seramai 20,000 orang penerima.

Selain itu katanya, pelaksanaan Program Rumah Perakku Prihatin juga ditingkatkan kepada RM6 juta berbanding RM5 juta sebelum ini bagi menyediakan pinjaman perumahan tanpa faedah khusus kepada golongan B40 yang menetap dan bermastautin di Perak pada kadar siling RM100,000 bagi seunit rumah.

"Sejajar dengan keperluan meningkatkan infrastruktur dan kemudahan prasarana rakyat, RM100 juta diperuntukkan kepada JKR (Jabatan Kerja Raya) bagi tujuan pembangunan iaitu peningkatan RM10 juta berbanding tahun 2023.

Artikel Berkaitan:

“Daripada jumlah tersebut, RM37.0 juta diperuntukkan untuk projek jalan dan jambatan manakala RM63.0 juta untuk projek bangunan," katanya.

Saarani berkata, kerajaan negeri turut memperkenalkan inisiatif baharu iaitu program Pembangunan Usahawan dan Koperasi dengan dana sebanyak RM1 juta.

Beliau berkata, kerajaan negeri turut meneruskan program Kedai Bergerak yang sejak sekian lama menjadi program yang sangat dekat dengan rakyat marhaen membabitkan peruntukan sebanyak RM0.82 juta.

Saarani berkata, elaun ketua kampung yang ditanggung kerajaan negeri juga dinaikkan sebanyak RM100 kepada RM300 seorang melibatkan implikasi kewangan bernilai RM1.9 juta.