Kebimbangan dengan pelaksanaan Digital ID tidak berasas - PM

Anwar (tengah) mendaftarkan diri dengan Identiti Digital Nasional atau Digital ID di Bangunan Perdana Putra pada Jumaat. - Foto Bernama
Anwar (tengah) mendaftarkan diri dengan Identiti Digital Nasional atau Digital ID di Bangunan Perdana Putra pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menegaskan bahawa kebimbangan orang ramai dengan pelaksanaan Identiti Digital Nasional atau Digital ID seperti rekod peribadi serta perbankan akan terbocor dan cip diimplan dalam tubuh individu, adalah tidak berasas langsung.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, dalam membicara soal transformasi digital, rakyat harus menerima kenyataan bahawa negara harus maju seiring dengan perkembangan semasa termasuk penggunaan teknologi.

"Apa takut isu peribadi? Bank Negara Malaysia tidak akan lepaskan rekod personal perbankan peribadi. Jadi yang itu dikawal.

"Kemudian juga kata kononnya ada cip masuk dalam badan dan sebagainya, itu semua tengok banyak sangat filem Hollywood," katanya kepada pemberita selepas membuat pendaftaran Digital ID di sini pada Jumaat, menjadikan beliau individu pertama memiliki Digital ID berkenaan.

Turut membuat pendaftaran Digital ID selepas Anwar adalah Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Antara Jemaah Menteri yang turut mendaftar ialah Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said; Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil serta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Anwar berkata, sebelum membuat sebarang komentar, seharusnya dengar dahulu penjelasan daripada Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) berhubung Digital ID supaya ia tidak menjejaskan keyakinan rakyat.

Menegaskan bahawa kerajaan buat masa ini tidak memaksa mana-mana individu untuk berdaftar dengan Digital ID, Anwar bagaimanapun menggalakkan penjawat awam keseluruhannya untuk mendaftar kerana pemberian Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan segala bentuk penyasaran subsidi akan disalurkan melalui Digital ID tersebut.

Artikel Berkaitan:

Digital ID merupakan suatu bentuk pengenalan dan pengesahan diri individu secara digital, bakal dimanfaatkan sektor awam dan swasta, untuk mengesahkan identiti pengguna semasa melakukan transaksi secara dalam talian.

Tanpa menggantikan sistem MyKad, Digital ID merupakan platform yang dipercayai dan selamat serta memudahkan pengesahan identiti dalam talian bagi mengelakkan penipuan identiti dalam urusan secara dalam talian. - Bernama