RM4,800 lesap dari akaun bank

Seorang penjawat awam kerugian RM4,800 selepas menyerahkan maklumat kad banknya kepada individu menyamar anggota polis. - Foto 123RF Gambar kecil: Mohd Wazir
Seorang penjawat awam kerugian RM4,800 selepas menyerahkan maklumat kad banknya kepada individu menyamar anggota polis. - Foto 123RF Gambar kecil: Mohd Wazir
A
A
A

KUANTAN - Gara-gara menyerahkan maklumat kad bank termasuk nombor kad dan pin kepada anggota polis berpangkat 'sarjan', seorang penjawat awam rugi RM4,800 apabila wang simpanannya itu lesap.

Tindakan berkongsi maklumat kad bank itu dilakukan bagi mengelak namanya disenarai hitam selepas didakwa mempunyai tunggakan kad kredit lebih RM13,000.

Bagaimanapun, tindakan lelaki berusia 27 tahun itu membawa pada apabila 'sarjan' yang berurusan dengannya itu sebenarnya scammer.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa rugi RM4,800 apabila wang dalam akaun banknya dikeluarkan pihak lain disyaki scammer yang menyamar sebagai anggota polis berpangkat sarjan dari sebuah ibu pejabat polis kontinjen (IPK) negeri.

Menurutnya, jerat sindiket penipuan itu bermula selepas mangsa menerima panggilan daripada seorang wanita yang menyamar sebagai pegawai dari sebuah mahkamah, 27 Disember lalu.

Beliau berkata, mangsa diberitahu dia mempunyai tunggakan kad kredit dari sebuah bank berjumlah RM13,610 yang perlu dilangsaikan segera atau namanya akan disenaraihitamkan.

“Seperti biasa, panggilan seterusnya disambungkan kepada seorang anggota polis kononnya bagi tujuan siasatan.

“Mangsa kemudian diminta menyerahkan nombor kad banknya berserta nombor pin untuk siasatan pihak Bank Negara dan bagi melindungi wang dalam akaun banknya,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, mangsa yang tidak menyedari ditipu telah menyerahkan maklumat kad bank seperti yang diminta.

“Mangsa hanya menyedari dia ditipu selepas membuat semakan akaun banknya dan mendapati baki berkurangan RM4,800 lalu membuat laporan polis semalam.

“Susulan laporan polis dibuat mangsa, kita buka kertas siasatan kes ini mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

"Pada masa sama kita turut mengesan seorang wanita yang juga pemilik akaun bank yang digunakan dalam kes ini bagi membantu siasatan,” katanya.