Baru tamat belajar Tahun Enam tapi graduasi di hotel mewah

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

BARU-baru ini tular di media sosial mengenai surat pemberitahuan graduasi murid Tahun Enam di sebuah sekolah yang akan diadakan di sebuah hotel pada Januari ini.

Pihak sekolah tetapkan yuran RM140 bagi seorang murid.

Ia untuk bayaran makan-makan, gambar, sijil dan upah dobi, sebab dah namanya graduasi pastilah ada jubah ala-ala graduan.

Sudahlah kena bayar RM140, jika mak ayah nak ikut serta kena tambah lagi RM100 seorang.

Jadi, jumlah kena bayar sebanyak RM240.

Bagi keluarga kurang mampu, RM240 itu sangat bernilai kerana dengan wang sebanyak itu boleh digunakan untuk perkara lain yang lebih mendesak.

Tapi biasalah mana ada ibu bapa yang sanggup ‘musnahkan’ kegembiraan dan keterujaan anak yang mahu bergraduasi bersama kawan-kawan.

Pasti ibu bapa sanggup lakukan apa sahaja untuk penuhi impian anak meskipun mungkin terpaksa bercatu belanja agar boleh bernafas sampai hujung bulan.

Artikel Berkaitan:

Memang sudah jadi trend murid sekolah termasuk di peringkat tadika diraikan dalam majlis graduasi apabila mereka tamat persekolahan.

Malah, ada juga yang menetapkan tema pakaian tertentu untuk majlis dianjurkan.

Bagi Merak Jalanan, tak salah pun majlis graduasi diadakan sebab itulah kenangan yang akan disimpan sampai bila-bila, namun lihat juga kepada kemampuan ibu bapa.

Jangan jadikan ia sebagai perkara ‘wajib’ dan pukul rata semua orang boleh bayar.

Kenapa perlu bebankan murid dan ibu bapa kalau majlis boleh dibuat di sekolah dengan kos minimum tetapi meriah.

Hentilah budaya berlebih-lebihan, lagipun yang nak diraikan baru tamat Tahun Enam.

Ciptalah kenangan yang indah untuk semua murid tanpa ada jurang dan perbezaan.

Sekarang ni Merak Jalanan tengah bayangkan kalaulah ibu bapa ada anak sedang belajar di tadika, Tahun Enam dan Tingkatan Lima serentak, dan semuanya ada majlis graduasi ‘mewah’. Pening!