Murid Tahun Tiga ditimpa tangki pam tandas

Keadaan tangki pam tandas seramik yang jatuh menimpa murid sekolah terbabit.
Keadaan tangki pam tandas seramik yang jatuh menimpa murid sekolah terbabit.
A
A
A

IPOH - Seorang murid perempuan Tahun Tiga Sekolah Kebangsaan (SK) Perpaduan di sini cedera ditimpa tangki pam tandas yang tercabut dalam kejadian pada Selasa lalu.

Perkara itu disahkan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah yang memaklumkan murid tersebut tidak mengalami kecederaan serius selepas menjalani rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

Menurutnya, kejadian berlaku ketika murid tersebut menggunakan tandas sebelum tangki pam diperbuat dari seramik itu jatuh dan terkena kanak-kanak itu.

"Tindakan awal telah diambil oleh pihak sekolah dengan menghubungi ibu bapa untuk dibawa ke HRPB. Daripada imbasan x-ray yang dibuat, pelajar tersebut tidak ada sebarang kecederaan serius dan boleh kembali ke rumah.

"Ekoran daripada isu ini, saya mengharapkan pihak sekolah perlu membuat pemantauan secara berkala berkaitan dengan penggunaan tandas di sekolah sebab kita tidak mahu kejadian sama dengan murid-murid lain," katanya ketika merasmikan program Rising Together anjuran bersama Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM - GSB) dan FELCRA Berhad di Pusat Sekretariat Pembangunan Usahawan Negeri Perak di sini pada Khamis.

Beliau turut mengarahkan pihak sekolah memastikan sebarang kerja menaik taraf perlu mengikut spesifikasi ditetapkan supaya tidak ada kes melibatkan pelajar akibat kecuaian pihak kontraktor.

Sementara itu, Khairudin berkata, sebanyak 700 sekolah di Perak akan menerima peruntukan bagi kerja-kerja menaik taraf tandas seperti yang diumumkan Kementerian Pendidikan.

Menurutnya, pengumuman tersebut dibuat bagi memastikan keselamatan dan keselesaan pelajar untuk menggunakan tandas tersebut.

"Saya difahamkan kerja-kerja naik taraf telah pun diselaraskan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Perak dan ia perlu dilaksanakan sehingga Oktober tahun ini.

"Apabila projek ini selesai nanti, saya mengharapkan pihak Jabatan Pendidikan Negeri mengadakan satu task force untuk melihat keberkesanan dan juga keadaan tandas yang dinaik taraf ini," katanya.

Menurutnya, kerja-kerja dilakukan pihak kontraktor mesti mengikut piawaian ditetapkan kerana tidak mahu kejadian tidak diingini berlaku.

Sebelum ini, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek mengumumkan peruntukan RM70,000 kepada setiap sekolah untuk menyelesaikan kerja penyelenggaraan tandas demi keselesaan pelajar dalam tempoh tiga bulan.