Mangsa banjir di Kelantan kembali meningkat, Terengganu menurun

Banjir termenung di kawasan Kampung Tersang di Rantau Panjang sempat dirakamkan ekoran hujan sejak beberapa hari lalu.
Banjir termenung di kawasan Kampung Tersang di Rantau Panjang sempat dirakamkan ekoran hujan sejak beberapa hari lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jumlah mangsa banjir di Kelantan kembali meningkat, manakala di Terengganu menurun malam ini.

Di KELANTAN, berikutan hujan lebat sejak semalam, beberapa kawasan dinaiki air menyebabkan jumlah mangsa banjir bertambah kepada 795 orang daripada 235 keluarga setakat 8 malam ini, berbanding 317 orang daripada 101 keluarga pagi tadi.

Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kesemua mangsa berlindung di empat pusat pemindahan sementara (PPS) di jajahan Pasir Mas, Bachok dan Kota Bharu.

Kota Bharu menjadi jajahan terbaharu terkesan banjir apabila PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Sering dibuka tengah hari tadi menempatkan 177 mangsa daripada 52 keluarga, manakala di Pasir Mas sebanyak 227 mangsa daripada 78 keluarga sedang berlindung di PPS SK Gual To'Deh.

Di Bachok, PPS SK Jelawat menempatkan 109 orang daripada 31 keluarga, manakala 282 orang daripada 74 keluarga lagi berada di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Beris Panchor.

Di TERENGGANU, hanya tiga mangsa daripada satu keluarga masih berada di PPS daerah Kuala Terengganu setakat 8 malam ini.

Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu (JPBNT) seramai 17 mangsa yang berlindung di PPS sama iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Atas Tol telah pulang ke rumah masing-masing pada 6 petang tadi. - Bernama

Artikel Berkaitan: