Kes demam denggi di Ipoh meningkat lebih 300 peratus

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

IPOH - Kes demam denggi di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) mencatatkan peningkatan 306.2 peratus atau 1,974 kes dari Januari hingga 25 Nov lepas, berbanding 486 kes bagi tempoh sama tahun lepas.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, satu kes kematian turut dilaporkan sepanjang tempoh berkenaan.

"Kes demam denggi meningkat akibat faktor pergerakan orang ramai secara meluas menyebabkan risiko jangkitan demam denggi lebih tinggi dan cepat merebak.

"Faktor cuaca iaitu hujan yang berterusan juga menyebabkan peningkatan kepadatan nyamuk Aedes yang tinggi," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh Majlis Bulan November di sini hari ini.

Rumaizi berkata, lima lokaliti ‘hotspot’ kes demam denggi juga telah dikenal pasti di sekitar bandar raya Ipoh iaitu Kampung Tersusun Batu 8 dengan 46 kes, Taman Indah (22 kes), Kampung Tersusun Batu 6 (18 kes), Taman Pertama (15 kes) dan rumah pangsa Sri Kepayang dengan tujuh kes.

Mengulas lanjut katanya, kerjasama daripada semua pihak dalam melaksanakan aktiviti pencegahan, kawalan dan promosi kesihatan berkaitan kesedaran denggi amat diperlukan bagi membendung peningkatan kes.

"Warga Ipoh juga diseru supaya terus mempertingkatkan langkah pencegahan dan kawalan demam denggi.

"Aktiviti pemusnahan tempat pembiakan nyamuk secara berterusan diharap boleh mengurangkan kepadatan/densiti nyamuk Aedes agar berada pada tahap minimum pada setiap masa.

Artikel Berkaitan:

"Justeru, mereka dinasihatkan meluangkan masa sekurang-kurangnya 10 minit untuk melakukan aktiviti pemeriksaan dan pemusnahan tempat pembiakan nyamuk Aedes di kawasan kediaman masing-masing pada setiap minggu," katanya.

Ditanya rungutan orang ramai mengenai tindakan MBI melaksanakan fogging atau semburan asap seawal 5 pagi sejak kebelakangan ini, Rumaizi berkata, perkara itu terletak di bawah bidang kuasa Pusat Kesihatan Daerah.

"Kita (MBI) mendapat nasihat daripada Pusat Kesihatan Daerah untuk melaksanakan (fogging), kita membantu sahaja," katanya. - Bernama