Bina tiga sekolah baharu, tambah bilik darjah

Norlizah - foto Bernama
Norlizah - foto Bernama
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Kerajaan Negeri Johor telah mendapat kelulusan bagi pembinaan tiga sekolah baharu termasuk penambahan bilik darjah dalam menangani masalah isu kepadatan pelajar di sekitar kawasan Iskandar Puteri.

Menurut Exco Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi, Norlizah Noh berkata, pembinaan tiga sekolah baharu itu termasuk penambahan bilik darjah itu akan dibuat mengikut keperluan dan lebih difokuskan di kawasan Kangkar Pulai, Pulai Indah dan Pulai Jaya Dua.

“Pihak Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Johor telah mendapat kelulusan membina tiga sekolah baharu dan penambahan bilik darjah di sekolah sedia ada mengikut keperluan dan kesesuaian tapak di sekitar kawasan Iskandar Puteri bagi menangani isu kepadatan pelajar.

“Kelulusan itu melibatkan pembinaan baharu Kompleks Sekolah Taman Pulai Indah, Johor Bahru yang mengandungi 30 bilik darjah bagi sekolah rendah dan 36 bilik darjah bagi sekolah menengah.

“Bagaimanapun, buat masa ini, status projek masih dalam proses awalan kerana melibatkan pemurnian skop projek serta penyediaan pelan pengambilan tanah,” katanya.

Norlizah berkata demikian pada pada sesi penggulungan sempena Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor ke-5, di Kota Iskandar, pada Khamis.

Tambah Norliza, pembinaan tiga sekolah baharu serta penambahan bilik darjah itu dibuat susulan kebimbangan ADUN Kota Iskandar yang ada menyuarakan kebimbangannya berhubung kapasiti sekolah di sekitar kawasan Kota Iskandar yang dilihat terlalu padat ketika ini.

Justeru katanya, pihak JPN Johor telah diminta untuk berusaha secara berterusan bagi memastikan penyediaan kemudahan sekolah adalah mencukupi bagi keperluan masyarakat setempat.

Artikel Berkaitan:

“Masalah kepadatan murid di sekolah di DUN Kota Iskandar adalah dalam perhatian pihak JPN Johor yang sentiasa komited menyediakan prasarana dan kemudahan infrastruktur pendidikan kepada semua pelajar.

“Dalam hal ini JPN Johor telah mengambil langkah proaktif bagi mencari jalan penyelesaian terbaik melalui pembinaan sekolah baharu dan penambahan bilik darjah di sekolah sedia ada berdasarkan keperluan dan kesesuaian tapak.

“Contohnya, pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Mutiara Rini Tiga baharu yang mengandungi 36 bilik darjah dalam Rancangan Malaysia Ke-12 atau 'Rolling Plan' 4 bagi tahun 2024,” katanya.