Sultan Ibrahim kurnia Darjah SMIJ kepada Menteri Besar Johor

Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan Darjah SMIJ kepada Onn Hafiz di Istana Besar, Johor Bahru. - Foto ihsan FB Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan Darjah SMIJ kepada Onn Hafiz di Istana Besar, Johor Bahru. - Foto ihsan FB Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar berkenan mengurniakan Darjah Sultan Ibrahim Johor Yang Amat Disanjungi Pangkat Pertama Dato' Sri Mulia Sultan Ibrahim Johor (S.M.I.J) yang membawa gelaran 'Datuk' kepada Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi pada Rabu.

Mengikut hantaran yang dimuat naik di Facebook rasmi baginda, majlis pengurniaan darjah yang berlangsung di Bilik Singgahsana, Istana Besar, di sini, diadakan bersempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda Tuanku Sultan yang ke-65, hari ini.

Berangkat sama, Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah.

Turut berangkat, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim; isteri Tunku Ismail, Che’ Puan Besar Khaleeda Bustaman dan Raja Muda Johor, Tunku Iskandar Abdul Jalil Abu Bakar Ibrahim Tunku Ismail.

Turut berangkat, Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Al-Haj Sultan Ibrahim; Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Al-Haj Sultan Ibrahim; Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar Al-Haj Sultan Ibrahim; Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim bersama suami, Datuk Dennis Muhammad Abdullah serta keluarga Diraja Johor.

Pada majlis yang sama, Sultan Ibrahim turut mengurniakan Darjah Sultan Ibrahim Johor Yang Amat Disanjungi Pangkat Yang Kedua, Dato' Mulia Sultan Ibrahim Johor (DMIJ) yang turut membawa gelaran ‘Datuk’.

Empat penerima DMIJ ialah Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pengurusan), Datuk Ismail Abu; Ketua Hakim Syariah Johor, Datuk Muhammad Khaldun Mohamad Sharif; Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat dan Naib Canselor Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Profesor Datuk Dr Ruzairi Abdul Rahim. - Bernama

Artikel Berkaitan: