Tempat kedua Liga Super: Ifedayo yakin kelebihan Sang Kenari

Ifedayo berada pada prestasi terbaik selepas menjaringkan empat gol membantu KDA FC menewaskan Kelantan FC, 6-1 pada Ahad lalu. - Foto KDA FC
Ifedayo berada pada prestasi terbaik selepas menjaringkan empat gol membantu KDA FC menewaskan Kelantan FC, 6-1 pada Ahad lalu. - Foto KDA FC
A
A
A

PENYERANG Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Ifedayo Olusegun mahu memberikan aksi terbaik menentang bekas kelabnya, Selangor FC pada saingan Liga Super 2023, Sabtu ini.

Menurutnya, kedua-dua pasukan itu kini sedang bersaing hebat untuk merebut tempat kedua Liga Super bagi melayakkan diri secara automatik ke Asia pada musim hadapan.

Beliau yang telah meledak 12 gol bersama KDA FC pada saingan Liga Super setakat ini percaya Sang Kenari mempunyai kelebihan pada pertembungan itu kerana beraksi di Stadium Darul Aman.

"Bagi saya, sesiapa sahaja boleh jaringkan gol apabila memiliki peluang dan apa yang lebih penting buat kami adalah untuk memastikan gol itu boleh memberi kemenangan buat pasukan," katanya yang percaya setiap pemain KDA FC mampu menjaringkan gol pada perlawanan penting tersebut.

Ifedayo yang mempunyai kenangan manis bersama Selangor selepas menjaringkan 50 gol sepanjang 43 penampilan bersama Selangor dari 2019 hingga 2021 mengakui bekas pasukannya itu turut berada pada prestasi baik.

Jelasnya, satu aksi terbaik bakal dipamerkan oleh kedua-dua pasukan kerana kemenangan pada baki dua perlawanan Liga Super sahaja bakal menjamin tempat mereka di pentas Asia.

"Saya yakin dengan momentum terbaik yang telah kami miliki setakat ini, kami mampu memberi tentangan yang sengit kepada Selangor pada perlawanan ibarat final itu.

"Walaupun atas kertas Selangor memiliki kelebihan, usah memandang rendah dengan kemampuan Kedah kerana kami pernah buktikan sesuatu ketika menentang skuad JDT di laman sendiri sebelum ini," ujar beliau.

Artikel Berkaitan: