[VIDEO] Liga Super: Penyokong mahu KDA FC 'pulun' Selangor FC

A
A
A

PENYOKONG Kedah Darul Aman (KDA) FC mengharapkan Sang Kenari memanfaatkan kelebihan beraksi di Stadium Darul Aman apabila menerima kehadiran Selangor FC pada aksi Liga Super 2023 pada malam Sabtu.

Puaka Jerai atau nama sebenarnya, Zulkifli Hashim, 44, menggesa semua penyokong dari seluruh negeri agar dapat turun ke Alor Setar untuk memberikan sokongan padu kepada KDA FC.

Menurutnya, kemenangan wajib diraih pada perlawanan penting itu bagi memastikan harapan melihat skuad kendalian Nafuzi Zain merebut kedudukan kedua Liga Super 2023 tercapai sekali gus meraih slot beraksi di pentas Asia.

"Kita nak tengok malam ini (Sabtu) Kedah menentang Selangor. Ini adalah perlawanan penting bagi kita, yang mana belum beli tiket lagi boleh datang beli tiket di kaunter tiket Stadium Darul Aman," katanya ketika ditemui di pekarangan Stadium Darul Aman pada pagi Sabtu.

Dari kiri: Mohd Shahrizal, Anuar dan Zulkifli menunjukkan tiket aksi Liga Super KDA FC menentang Selangor FC yang dibeli mereka pada pagi Sabtu.
Dari kiri: Mohd Shahrizal, Anuar dan Zulkifli menunjukkan tiket aksi Liga Super KDA FC menentang Selangor FC yang dibeli mereka pada pagi Sabtu.

Zulkifli yang popular dengan kostum hijau dan kuning berserta imej bunga matahari tidak melepaskan peluang turun ke stadium untuk memberikan sokongan setiap kali Sang Kenari beraksi.

Bagi ahli Kelab Legasi Kedah, Mohd Shahrizal Ahmad,39, pula sebagai penyokong KDA FC, dia tidak akan terlepas aksi penting tersebut kerana semua pemain memerlukan sokongan padu peminat di laman sendiri.

"Perlawanan ini sangat penting buat Kedah untuk merebut kedudukan kedua Liga Super musim ini.

Artikel Berkaitan:

"Insya- ALLAH dengan semangat penyokong bawa ini Sang Kenari mampu meraih tiga mata penting di laman sendiri," ujarnya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan.

Penyokong KDA FC beratur di kaunter tiket Stadium Darul Aman bermula jam 10 pagi pada Sabtu.
Penyokong KDA FC beratur di kaunter tiket Stadium Darul Aman bermula jam 10 pagi pada Sabtu.

Seorang lagi penyokong, Anuar Mohd Junaidi berharap semua pemain yang diturunkan dapat turun dan memberikan aksi terbaik di hadapan penyokong sendiri.

"Pemain kena 'pulun' habis-habisan dan penyokong berharap Kedah akan dapat raih slot ke pentas Asia musim hadapan," katanya yang berusia 39 tahun.

KDA FC melaporkan kuota tiket awal telah terjual sebanyak 7,600 dan sebanyak 15,000 tiket lagi mula dijual pada jam 10 pagi pada Sabtu di kaunter B dan F Stadium Darul Aman.