Lagi kes 'harimau makan orang', dua maut dalam tempoh 48 jam

Selang sehari, seorang lelaki warga Myanmar pula menjadi mangsa dipercayai dibaham harimau ketika sedang menoreh di Kampung Meranto, Gua Musang pada Sabtu. Foto: Ihsan pembaca
Selang sehari, seorang lelaki warga Myanmar pula menjadi mangsa dipercayai dibaham harimau ketika sedang menoreh di Kampung Meranto, Gua Musang pada Sabtu. Foto: Ihsan pembaca
A
A
A

GUA MUSANG - Selang sehari, seorang lelaki warga Myanmar pula menjadi mangsa dipercayai dibaham harimau ketika sedang menoreh di Kampung Meranto di sini pada Sabtu.

Dalam kejadian jam 1.30 petang itu, mangsa yang berusia 22 tahun mengalami kecederaan luka dan berdarah di bahagian belakang leher.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, semasa kejadian lelaki terbabit dikatakan sedang menoreh bersama isterinya di kebun berkenaan sebelum diserang oleh pak belang.

"Mangsa kemudian telah dibawa ke Hospital Gua Musang dan dipercayai meninggal dunia semasa sedang mendapatkan rawatan.

"Hasil bedah siasat mendapati punca kematian disebabkan kecederaan parah pada bahagian kepala akibat serangan harimau,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Menurut beliau, siasatan lanjut masih diteruskan.

Ujarnya, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) akan meneruskan pemasangan kamera dan perangkap harimau dalam usaha mengesan serta menangkap haiwan berkenaan.

Sinar Harian pada Sabtu melaporkan mayat seorang lelaki ditemui dalam keadaan mengerikan dipercayai dibaham harimau di kawasan kebun getah Kuala Wok, Pos Pasik, di sini pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Mangsa ditemukan oleh seorang lelaki warga tempatan yang dalam perjalanan ke tempat kerjanya di kawasan terbabit.