Pusat khidmat wakil rakyat di Kedah dilengkapi VOIP

Mohd Azam ketika sesi penggulungan persidangan DUN Kedah pada Rabu.
Mohd Azam ketika sesi penggulungan persidangan DUN Kedah pada Rabu.
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan negeri menyediakan nombor telefon melalui sistem Voice Over Internet Protocol (VOIP) kepada lapan pejabat pusat khidmat wakil rakyat kerajaan negeri sebagai projek perintis.

Exco Pendidikan, Agama, Komunikasi dan Penerangan, Mohd Azam Abd Samat berkata, ia mula dilaksanakan pada Oktober lalu dan boleh digunakan secara percuma.

Menurutnya, kemudahan itu hanya memerlukan talian internet untuk menggunakannya.

“Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor ada menyebut dalam ucapan Belanjawan 2024, VOIP ini turut disediakan di semua pejabat penghulu, “ katanya ketika sesi penggulungan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah pada Rabu.

Mohd Azam turut bercadang menawarkan kemudahan wifi di setiap masjid bagi kegunaan anak kariah.

“Kerajaan negeri melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah menyokong penuh perkara ini supaya setiap masjid dapat meletakkan kemudahan internet kepada anak kariah, tertakluk kepada kemampuan kewangan masjid.

“Banyak institusi masjid sudah mula beri kemudahan ini dalam pembelajaran online dan boleh menarik minat anak muda mengimarahkan masjid seperti di Masjid Zahir dan Masjid Ghufron di Alor Setar,” ujarnya.

Menurutnya, kerajaan negeri akan berbincang dengan syarikat komunikasi untuk menawarkan perkhidmatan atau tawaran lebih baik dan berpatutan untuk diberikan kepada institusi masjid.

Artikel Berkaitan:

“Perkara ini juga diberi penekanan dalam perancangan strategik portfolio agama, iaitu menambah baik infrastruktur bagi kemudahan anak kariah di masjid menjelang 2035,” jelasnya.

Mohd Azam memaklumkan, Telekom Malaysia Bhd (TM) juga telah menaiktaraf kesemua rangkaian talian tetap kepada fiber (gentian optik) di Kedah.

“Peluasan rangkaian gentian optik sedang giat dijalankan di kawasan luar bandar di Kedah bawah pelan Jalinan Digital Negara (Jendela). Sehingga suku ketiga tahun ini, sejumlah 349,576 premis telah tersedia dengan infrastruktur gentian optik,” ujarnya.