Bekas penyanyi nasyid terlantar, isteri pula derita kanser

Mohd Nasir (kanan) dan Mas Imran menyampaikan sumbangan kepada Zek bagi meringankan beban keluarga di rumah sewanya di Taman Impian Emas, Johor Bahru pada Rabu
Mohd Nasir (kanan) dan Mas Imran menyampaikan sumbangan kepada Zek bagi meringankan beban keluarga di rumah sewanya di Taman Impian Emas, Johor Bahru pada Rabu
A
A
A

JOHOR BAHRU - Nasib bekas anggota kumpulan nasyid Iman Heart, Zek Ayry Khan seakan jatuh ditimpa tangga selepas terlantar akibat mengalami 'slipped disc' manakala isterinya pula menghidap kanser payudara tahap tiga yang dikesan baru-baru ini.

Zek, 44, yang mengalami masalah 'slipped disc' menjalani pembedahan tulang belakang pada awal tahun lalu dan keadaannya bertambah buruk sejak tiga bulan lalu.

Pengasas Pusat Perubatan Islam Al-Haq Zek Menyingkap Tirai Ghaib itu yang berehat sementara daripada dunia hiburan kini tidak mampu bergerak lama dan perlu banyak berehat.

Isterinya pula, Noor Diana Hashim, 44, baru menjalani pembedahan pembuangan ketumbuhan dua minggu lalu selepas menjalani rawatan kemoterapi bermula Disember tahun lalu hingga April lalu.

Pasangan tersebut yang tinggal di Taman Taman Impian Emas di sini bergantung hidup dengan menjual produk sejuk beku antaranya sambal petai bilis, sambal belimbing, sambal tumis bilis, paru rempah sambal dan acar buah berempah.

Noor Diana yang dikesan menghidap barah payudara pada Disember lalu berkata, dia bersama tiga anaknya berusia 15 hingga 22 tahun menjual produk tersebut sebagai sumber pendapatan utama keluarga.

Mohd Nasir (kanan) dan Mas Imran menyampaikan sumbangan kepada Zek bagi meringankan beban keluarga di rumah sewanya di Taman Impian Emas, Johor Bahru pada Rabu
Mohd Nasir (kanan) dan Mas Imran menyampaikan sumbangan kepada Zek bagi meringankan beban keluarga di rumah sewanya di Taman Impian Emas, Johor Bahru pada Rabu

"Walaupun ALLAH menguji saya dengan barah payudara tahap tiga, namun pada masa sama memberi saya kekuatan untuk mencari rezeki sejak suami jatuh sakit.

Artikel Berkaitan:

"Bagi menampung perbelanjaan kos rawatan, kami terpaksa kehilangan aset.

"Sebelum ini selepas suami tidak aktif dalam dunia hiburan, dia bekerja sebagai pengamal perubatan tradisional tetapi kini juga terpaksa berehat kerana masalah kesihatan," katanya ketika ditemui pemberita pada Rabu.

Terdahulu Zek dan Noor Diana menerima kunjungan wakil Jejak Asnaf Majlis Agama Islam Johor (MAIJ), Mohd Nasir Ishak dan Pengurus Besar Pasaraya Econsave, Mas Imran Adam yang menyampaikan sumbangan bernilai RM1,000 termasuk wang tunai dan barangan keperluan harian.

Noor Diana berkata, dia sebelum ini menjadi perancang majlis, namun sejak pandemik Covid-19, perniagaannya merosot.

"Malangnya ketika dalam fasa pemulihan saya pula diduga dengan penyakit kanser.


"Sebagai pejuang kanser, saya perlu bersemangat kental menghadapi pelbagai cabaran demi suami dan anak-anak," katanya.

Zek sebelum ini memulakan karier dalam dunia peragaan pada penghujung 90-an dan mengorak langkah baharu apabila menceburi bidang lakonan pada 2009.

Pada 2013, Zek mendapat kepercayaan menjayakan watak pembantu dalam drama Buih-Buih Kasih sebanyak 13 episod yang disiarkan RTM sebelum terus berlakon sehingga 2014.

Menyedari minatnya lebih ke arah nyanyian, Zek atau nama sebenar Zek Ayry Khan Zarak Khan menubuhkan kumpulan nasyid, Iman Heart pada 2016.

Noor Diana berharap, dia yang perlu menjalani rawatan radioterapi dalam tempoh masa terdekat di Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini dan Zak akan segera sembuh bagi membolehkan mereka mencari rezeki dan menjalani hidup seperti sedia kala.

"Pendapatan hasil menjual produk sejuk beku hanya dapat menampung perbelanjaan harian kami, namun tidak mencukupi bagi membiaya perbelanjaan rawatan saya mahupun suami," katanya.

Dia juga bercadang untuk menjual busana Muslimah miliknya dengan harga rendah bagi mendapatkan sumber kewangan untuk kegunaan semasa.

"Saya buntu kerana perlu menjalani Positron Emission Tomography (PET Scan) di hospital swasta yang dianggarkan memakan kos RM2,000 bagi mengenal pasti sama ada sel kanser saya merebak atau tidak, namun masih menangguhkannya.

"Saya juga bersedia untuk mengambil sebarang tempatan katering atau upah memasak sehingga keadaan suami kembali pulih," katanya lagi.

Orang ramai boleh menyalurkan sumbangan kepada Noor Diana Hashim menerusi akaun Am Bank 1040070003182.