Selangor kekal minimum 30 peratus keluasan hutan

Pada Selasa, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan mengisytiharkan pemasyhuran Hutan Warisan Diraja Selangor (HWDS) melibatkan 26 buah Hutan Simpan Kekal seluas 108,000 hektar.- Gambar FB Amirudin
Pada Selasa, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan mengisytiharkan pemasyhuran Hutan Warisan Diraja Selangor (HWDS) melibatkan 26 buah Hutan Simpan Kekal seluas 108,000 hektar.- Gambar FB Amirudin
A
A
A

SHAH ALAM - Pemasyhuran hutan adalah sebahagian usaha kerajaan negeri untuk mempergiat usaha melestari alam sekitar bagi mengekalkan minimum 30 peratus tanah di Selangor sebagai kawasan hutan.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari memaklumkan inisiatif itu adalah selaras dengan Rancangan Selangor (RS-1) antaranya melibatkan penanaman 11 juta pokok dan program kesedaran awam berkaitan pemuliharaan hutan.

"Alhamdulillah, sehingga kini, keseluruhan kawasan hutan simpanan kekal (HSK) di Selangor seluas 250,739.33 hektar iaitu 31.7 peratus daripada keluasan tanah negeri, meningkat berbanding 30.55% pada 2008.

"Kerajaan negeri tekad menyokong segala bentuk usaha berkait pemeliharaan biodiversiti serta perubahan iklim," katanya dalam satu kenyataan di laman Facebooknya pada Rabu.

Pada Selasa, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan mengisytiharkan pemasyhuran Hutan Warisan Diraja Selangor (HWDS) melibatkan 26 buah Hutan Simpan Kekal seluas 108,000 hektar.

Pengisytiharan itu selaras titah Sultan Sharafuddin sebelum ini yang mahu menjadikan suatu kawasan hutan yang mencakupi aspek konservasi, penyelidikan, pendidikan, reakreasi, eko-pelancongan dan sebagainya.

Turut berangkat pada majlis tersebut adalah Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Dalam pada itu, Menteri Besar turut menjelaskan Selangor juga komited melaksanakan moratorium pembalakan sebagai usaha mengekalkan kelestarian alam sekitar.

Artikel Berkaitan: