20 tahun jadi penggali kubur, Allahyarham Shadzri wira tak didendang

Mohammad Shadzri
Mohammad Shadzri
A
A
A

KUALA LUMPUR - Setelah lebih 20 tahun berbakti menguruskan jenazah orang, kini giliran jasad seorang penggali kubur diuruskan orang lain.

Menerusi perkongsian di Facebook Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), pihaknya menerima berita duka pemergian Allahyarham Mohammad Shadzri Kamaruzzman yang merupakan seorang penggali kubur di Tanah Perkuburan Islam Raudatul Sakinah Jawi pada Rabu.

Menurutnya, jasa Allahyarham yang turut berpengalaman menguruskan jenazah pandemik Covid-19 akan sentiasa dikenang.

Gambar kenangan Mohammad Shadzri (kanan) ketika bertugas sebagai penggali kubur.
Gambar kenangan Mohammad Shadzri (kanan) ketika bertugas sebagai penggali kubur.

"Lebih 20 tahun berkhidmat sebagai penggali kubur, sudah pasti perjalanan yang amat panjang. Tidak terhitung jerih keringat dan kudrat.

"Menguruskan pengebumian jenazah saban waktu, juga terlibat sebagai salah seorang petugas Pasukan Pengurusan Jenazah Covid-19 seketika dulu. Tak mungkin dilupakan detik itu," menurut perkongsian di Facebook Jawi.

Jawi menerusi kenyataan sama memaklumkan, Allahyarham seorang wira yang tidak didendang dan mendoakannya diberikan keampunan dan kerahmatan daripada ALLAH SWT.

"Kini masanya kembali menghadap Ilahi. Liang lahad siap digali. Kami mengiringi pemergian dengan mendoakan keampunan dan kerahmatan. Semoga keluarga yang ditinggalkan dikurniakan ketenangan dan kesabaran.

Artikel Berkaitan:

"Wira tidak didendang, walau mungkin tidak dikenali orang amalan jariah dibawa pulang," katanya.

Majlis pengebumian Allahyarham Mohammad Shadzri dihadiri keluarga dan kenalan.
Majlis pengebumian Allahyarham Mohammad Shadzri dihadiri keluarga dan kenalan.

Allahyarham berusia 48 tahun meninggalkan isteri serta tiga anak dan difahamkan meninggal dunia akibat komplikasi penyakit buah pinggang dan jantung.

Jenazahnya dikebumikan Tanah Perkuburan Islam Raudatul Sakinah, Taman Selaseh pada hari sama.

Pengarah Jawi, Datuk Mohd Ajib Ismail turut hadir sama menunaikan solat jenazah dan menyampaikan sedikit sumbangan kepada waris.