[VIDEO] Kerajaan rangka RUU, letak pesara dan bekas pegawai PDRM bawah jabatan

A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kerajaan sedang merangka Rang Undang-Undang (RUU) pesara dan bekas pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai punca kuasa dalam memastikan kebajikan golongan itu lebih terjamin.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, RUU berkenaan kini dalam peringkat penelitian oleh pegawai undang-undang Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan dijangka dibentang di Dewan Rakyat tahun hadapan.

Menurutnya, dengan RUU itu juga membolehkan penyaluran peruntukan kerajaan untuk kumpulan tersebut lebih teratur.

"KDN dan PDRM sedang merangka untuk mewujudkan rang undang-undang pesara dan bekas pegawai polis yang berfungsi untuk mengawal selia bekas pegawai polis secara lebih teratur dalam satu entiti melalui satu punca kuasa yang jelas.

"RUU ini nanti akan dijadikan punca kuasa untuk pendaftaran pesara polis dan bekas pegawai polis bagi mengawal persatuan-persatuan, juga untuk menjaga kebajikan demi menjamin penyaluran peruntukan kerajaan kepada persatuan pesara polis dan bekas polis diselaraskan dengan lebih teratur dan berkesan berbanding dengan sekarang.

"Buat masa ini RUU ini masih dalam peringkat penelitian pegawai undang-undang KDN dan kita jangka pada suku tahun hadapan akan ada libat urus untuk dibawa ke jemaah menteri dan cadangkan tahun depan untuk dibentangkan di Dewan ini," katanya di Dewan Rakyat pada Rabu.

Shamsul Anuar ketika persidangan Dewan Negara di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto Bernama
Shamsul Anuar ketika persidangan Dewan Negara di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto Bernama

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada Datuk Shamshulkahar Mohd Deli (BN-Jempol) dan Zahari Kechik (PN-Jeli) berhubung usaha kerajaan mewujudkan undang-undang khusus berkaitan pesara dan bekas pegawai polis termasuk meletakkan golongan tersebut di bawah satu jabatan seperti yang dilakukan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui jabatan veteran.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Shamsul Anuar yang juga Ahli Parlimen Lenggong tidak menolak bahawa RUU itu nanti juga membolehkan pesara-pesara dan bekas pegawai polis dipusatkan dibawah satu jabatan seperti yang dilaksanakan ATM.

"Bagi memastikan pesara polis dan bekas pegawai polis, kita harap dengan rancangan ini membolehkan kita mampu dilaksanakan oleh ATM yang ditadbir oleh Jabatan Veteran ATM," katanya.