Lebih 300 pesawah rugi tanaman padi terjejas

Petani menunjukkan hasil padi yang tidak menjadi kerana tidak mendapat bekalan air.
Petani menunjukkan hasil padi yang tidak menjadi kerana tidak mendapat bekalan air.
A
A
A

KANGAR - Seramai 337 pesawah di kawasan Paya dan Jejawi mengalami kerugian ekoran bekalan air tidak masuk ke petak sawah.

Sistem pengairan tidak sempurna didakwa menjejaskan 496 hektar tanaman padi milik petani di kawasan berkenaan.

Salah seorang petani, Othman Dat, 60, berkata, pintu yang menyalurkan air ke petak sawah seolah-olah sengaja tidak dibuka, sedangkan air banyak.

Menurut Othman, sudah lima tahun pintu air di kawasan berkenaan rosak dan dibiarkan begitu sahaja tanpa kerja-kerja penyelenggaraan.

"Jika keadaan ini berterusan, kami bimbang tiada apa untuk dituai bagi musim ini," katanya ketika ditemui semalam.

Menurut Othman, bagi petani yang berkemampuan, mereka akan membeli pam air sendiri.

Halid
Halid

"Dengan adanya pam air, mereka boleh pam air dari tali air berdekatan. Itu bagi yang mampu. Kalau tak mampu tengok sahaja kerana ia meningkatkan lagi kos sedia ada," katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdapat juga petani yang berkemampuan tidak boleh menggunakan kaedah berkenaan kerana jauh daripada sumber air.

Mengakui masalah sama, Halid Sabu, 64, berkata, dia tidak sanggup lagi menghadapi situasi sebegini.

"Semua petani ada tanggungjawab masing-masing terutama sekarang ni pakat sibuk berbelanja untuk keperluan sekolah anak-anak," katanya.

Katanya, pihak berkuasa harus buka mata dan melihat masalah ini dengan teliti agar penyelesaian dapat diperoleh.

Difahamkan, keseluruhan sawah padi di kawasan itu adalah di bawah penyelenggaraan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perlis.

Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sena, Asrul Nizan Abd Jalil berkata, beliau difahamkan memang terdapat usaha daripada kerajaan untuk mengembangkan kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) di sini.

"Saya minta supaya Kementerian Pertanian dan Industri Asas koordinat dengan kerajaan negeri agar disegerakan perkara itu hingga ke kawasan Jejawi, Repoh dan Sempering.

"Masalah ini perlu diatasi segera kerana ia telah memakan masa terlalu lama dan ini membebankan rakyat," katanya.

Othman menunjukkan petak sawah miliknya yang merekah kerana tidak mendapat bekalan air.
.
Othman menunjukkan petak sawah miliknya yang merekah kerana tidak mendapat bekalan air. .

Sementara itu, Pengarah JPS Perlis, Ir Asnol Adzhan Abd Manap yang dihubungi berkata, pihaknya akan mengadakan lawatan ke kawasan yang terjejas dalam masa terdekat bagi mengumpulkan permasalahan dan aduan.

Katanya, masalah pengairan turut berlaku di kedua-dua kawasan hulu dan hilir kawasan pertanian terbabit.

"Begitu pun proses pengumpulan maklumat yang terperinci sedang dijalankan," katanya.

Dalam pada itu, Exco Pertanian Perlis, Nurulhisham Yaacob dalam satu kenyataan memberitahu, pihaknya akan mencari jalan tengah bagi memastikan masalah semua pihak diselesaikan.