Tidak realistik simpulkan kerajaan gagal

Fakhrurrazi dalam Wacana Siri 422 bertajuk 'Selepas Setahun Anwar PM' yang disiarkan secara langsung di semua platform media sosial Sinar Harian pada Selasa.
Fakhrurrazi dalam Wacana Siri 422 bertajuk 'Selepas Setahun Anwar PM' yang disiarkan secara langsung di semua platform media sosial Sinar Harian pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Orang ramai tidak boleh membuat kesimpulan bahawa prestasi Kerajaan Perpaduan di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim gagal selepas setahun memegang pentadbiran dengan hanya melihat kepada laporan kaji selidik Merdeka Center.

Pengasas Penyelidik Kanan Merdeka Center, Fakhrurrazi Rashid berkata, dapatan kajian itu sebaliknya mencerminkan bahawa masih ada ruang pembaharuan bagi kerajaan melakukan semak imbang dari segi pelaksanaan dasar negara untuk tempoh empat tahun akan datang.

“Saya tidak melihat kita boleh buat kesimpulan (kerajaan gagal) begitu tetapi kalau kita lihat masih ada ruang pembaharuan kerana ini baru setahun pentadbiran dan kita kena menjadi realistik kerana setahun ini bermaksud banyak harapan yang diletakkan rakyat seawal Anwar mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-10.

“Ini bukan satu keputusan tiba-tiba (memutuskan kerajaan) gagal, saya rasa itu tidak realistik kerana kayu ukur kepada kerajaan masih ada lagi empat tahun akan datang.

“Mungkin kita boleh perbaiki daripada masa ke masa tentang dasar-dasar ekonomi tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Wacana Siri 422 bertajuk 'Selepas Setahun Anwar PM' yang disiarkan secara langsung di semua platform media sosial Sinar Harian pada Selasa.

Program yang dihoskan oleh Ismail Adnan itu turut dihadiri oleh pemerhati politik, Muhammad Rafique Rashid Ali dan Setiausaha Kerja Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Iswardy Morni.

Sementara itu, ujar Fakhrurrazi, cabaran paling penting untuk Anwar pada ketika ini adalah untuk menerangkan misi-misi atau dasar yang dibawa oleh kerajaan pada tempoh empat tahun akan datang kepada masyarakat menerusi platform media sosial.

Artikel Berkaitan:

Beliau memberi contoh, banyak pengumuman yang dibuat oleh kerajaan berhubung usaha Anwar dalam menggalakkan kemasukan pelaburan asing di negara ini.

Bagaimanapun ulasnya, apa yang menjadi persoalan adalah bagaimana matlamat kerajaan melalui pelaburan langsung asing (FDI) dapat membawa kepada bentuk gaji yang progresif dan lebih baik.

“Persoalan kedua, kalau kita lihat institusi pengajian tinggi (IPT) pun ada 29,000 graduan yang tidak boleh bekerja selepas enam bulan.

"Jadi bagaimanakah ekonomi Malaysia ini dapat menyediakan peluang pekerjaan yang lebih baik?

“Ketiganya kalau kita lihat bagaimana kita ingin memperkasakan komuniti untuk memahami pergerakan ataupun misi yang ingin dibawa oleh Kerajaan Perpaduan untuk tempoh lagi empat tahun akan datang.

“Saya rasa itu persoalan yang perlu diutarakan oleh Kerajaan Perpaduan dan paling penting sekali cabaran Perdana Menteri adalah untuk menerangkan misi-misi ini dalam platform media sosial," ujarnya.