Kaji selidik jadi penanda aras pencapaian Kerajaan Madani

Iswardy
Iswardy
A
A
A

SHAH ALAM - Kaji selidik yang dilakukan Merdeka Center boleh dijadikan penanda aras untuk melihat persepsi rakyat terhadap pencapaian dan kebolehan kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Setiausaha Kerja Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Iswardy Morni berkata, menerusi kajian tersebut kerajaan juga mampu menilai data yang ada sekali gus memperbaiki prestasi pentadbiran masa akan datang.

“Saya lebih suka kaji selidik dilakukan untuk mengukur prestasi kerajaan dan tidak hanya mengkritik sehingga menghina kita.

“Kajian ini adalah satu persepsi rakyat dan tidak semestinya menggambarkan realiti yang berlaku dalam negara,” katanya dalam Wacana Siri 422 yang bertajuk ‘selepas setahun Anwar PM’ yang dihoskan oleh Ismail Adnan yang disiarkan secara langsung di semua platform media sosial Sinar Harian pada Selasa.

Turut hadir pemerhati politik, Muhammad Rafique Rashid Ali dan Pegawai Penyelidik Kanan Merdeka Center, Fakhrurazzi Rashid.

Wacana ke-422 membincangkan tajuk Selepas Setahun Anwar PM. Dari kiri: Ismail, Fakhrurrazi, Iswardy dan Muhammad Rafique yang berlangsung di Studio Sinar Harian pada Selasa. - Foto SINAR HARIAN/ ASRILASWANDI SHUKOR.
Wacana ke-422 membincangkan tajuk Selepas Setahun Anwar PM. Dari kiri: Ismail, Fakhrurrazi, Iswardy dan Muhammad Rafique yang berlangsung di Studio Sinar Harian pada Selasa. - Foto SINAR HARIAN/ ASRILASWANDI SHUKOR.

Mengulas lanjut, menurut Iswardy, walaupun menerima pelbagai kritikan, namun kerajaan telah menyediakan pelbagai inisiatif seperti Dasar Gaji Progresif dan rasionalisasi subsidi bagi membantu rakyat keluar daripada masalah ‘middle income trap’.

Jelasnya,semua inisiatif itu adalah bagi memastikan setiap rakyat memperoleh manfaat daripada kerajaan sekali gus mengembalikan keyakinan mereka terhadap pimpinan Anwar.

Artikel Berkaitan:

“Jika kita mahukan perubahan dalam negara, struktur ekonomi dan kehendak politik perlu ada. Kerajaan sedang berusaha bagi memastikan kesejahteraan rakyat menjadi keutamaan.

“Saya lihat survei yang dilakukan oleh Merdeka Center menunjukkan Anwar berada di kedudukan terbaik,” katanya.