Pelantikan Ahli JKMR manifestasi Kerajaan Madani banteras rasuah - PM

Anwar Ibrahim - Foto Bernama
Anwar Ibrahim - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pelantikan lima Ahli Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) pada Selasa sebagai manifestasi Kerajaan Madani untuk terus beriltizam dengan segala usaha dan kudrat bagi membanteras gejala rasuah di negara ini.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berharap Ahli JKMR bagi tempoh tiga tahun berkuat kuasa 9 Oktober lepas hingga 8 Oktober 2026 itu dapat mengalas tanggungjawab besar yang diamanahkan dengan penuh adil, tawaduk dan saksama.

"Saya percaya Ahli JKMR Sesi 2023-2026 akan terus istiqamah dan beroleh hikmah untuk melaksanakan tugas memerangi gelaja rasuah yang kian membarah.

"Intiha penerimaan watikah ini, didoakan segala usaha murni kita ini mendapat keberkatan daripada-Nya,” menurut beliau dalam hantaran di laman Facebook pada Selasa.

Terdahulu, beliau menyampaikan watikah pelantikan itu kepada Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar selaku Pengerusi JKMR; Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Mohd Shahar Abdullah; Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohd Shafizan Kepli; Ahli Parlimen Tawau, Lo Su Fui dan Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman di Bangunan Parlimen di sini.

Ia disaksikan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Pejabat Yang Dipertua Dewan Negara dalam kenyataan memaklumkan mereka telah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong dengan peranan menasihati Perdana Menteri mengenai pelbagai aspek berhubung masalah rasuah dalam negara dan memeriksa Laporan Tahunan SPRM. - Bernama

Artikel Berkaitan: