Jangan 'melangit' puji Qabil - Bapa

Qabil bersama piala Kejohanan Motosikal Siri Dunia FIM MiniGP tiba di KLIA Terminal 1, pada Selasa. (Gambar kecil: Azlan) - Foto Bernama
Qabil bersama piala Kejohanan Motosikal Siri Dunia FIM MiniGP tiba di KLIA Terminal 1, pada Selasa. (Gambar kecil: Azlan) - Foto Bernama
A
A
A

"JANGAN puji Qabil terlalu banyak,” kata Azlan Abd Rahman, bapa kepada pelumba cilik Qabil Irfan Azlan selepas anaknya memahat sejarah dinobatkan sebagai juara dunia, Kejuaraan Siri Dunia MiniGP 2023 di Valencia, Sepanyol Selasa lepas.

Meskipun berbangga dengan pencapaian anaknya itu, Azlan berkata, beliau tidak mahu anaknya yang berusia 11 tahun itu hanyut dengan pujian sebaliknya berharap mampu mengekalkan prestasi cemerlang pada masa akan datang.

Bapa kepada tiga orang anak itu menyifatkan pujian menggunung mampu membahayakan prestasi anaknya itu sebagai pelumba yang baru meningkat naik di persada dunia.

Azlan
Azlan

"Jangan puji Qabil terlalu banyak, kita kekalkan prestasi anak saya seperti biasa, saya tak nak anak saya terlalu dipuji sebab itu boleh membahayakan diri dia, itu pandangan saya,” katanya kepada pemberita selepas selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Selasa.

Selasa lalu, pelumba cilik kelahiran Terengganu itu mencipta sejarah apabila menjadi pelumba pertama dinobatkan selaku juara dunia selepas menyapu bersih kesemua tiga perlumbaan pada Kejohanan Motosikal Siri Dunia FIM MiniGP bagi kelas 160cc di Litar Ricardo Tormo, Valencia.

Dalam pada itu, ditanya mengenai perancangan buat Qabil selepas ini, Azlan berkata, beliau menyerahkan perkara itu kepada Pengurus Program Siri MiniGP Malaysia, Zulfahmi Khairuddin untuk menentukan perkara itu.

Sementara itu, Qabil berkata, beliau masih lagi tidak melupakan kejayaan yang diraih di Valencia.

Artikel Berkaitan:

Qabil dinobatkan selaku juara dunia selepas menyapu bersih kesemua tiga perlumbaan pada Kejohanan Motosikal Siri Dunia FIM MiniGP bagi kelas 160cc di Litar Ricardo Tormo, Valencia. - Foto Bernama
Qabil dinobatkan selaku juara dunia selepas menyapu bersih kesemua tiga perlumbaan pada Kejohanan Motosikal Siri Dunia FIM MiniGP bagi kelas 160cc di Litar Ricardo Tormo, Valencia. - Foto Bernama

Beliau yang bakal beralih daripada kategori 160cc kepada 190cc musim depan turut bersedia untuk berdepan cabaran lebih besar bagi kejohanan akan datang.

"Saya sudah berlatih untuk tukar kategori dan saya dah bersedia. Balik ini saya akan cuba berlatih lebih lagi untuk naik kelas. Perancangan akan datang sudah ada tapi abang Zulfahmi akan beritahu kelak,” katanya. - Bernama