X

Kindly register in order to view this article
!

Jenayah scam jadi kebimbangan seluruh dunia

Gambar hiasan. - 123RF
A
A

SHAH ALAM - Kegiatan sindiket jenayah kewangan atau scammer bukan sahaja berlaku di Malaysia tetapi kini sudah menjadi satu masalah global.

Menurut Laporan Jenayah Internet Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI), seramai 26,379 orang di Amerika Syarikat menjadi mangsa penipuan membabitkan kerugian sebanyak RM206 juta pada tahun lalu.

Sementara pada tahun 2017, seramai 25,344 menjadi mangsa dengan kerugian sebanyak RM82 juta.

Pada Ogos lalu, FBI turut mengeluarkan satu kenyataan kepada orang ramai supaya tidak terpedaya dengan pihak yang menggunakan nama agensi pengkuatkuasaan terbabit.

Sindiket tersebut didapati menggunakan nombor telefon pejabat FBI yang terletak di California, Montana, Colorado, Texas, Wisconsin, Oklahoma, dan Kentucky.

Sementara mangsa pula diperdaya bahawa mereka akan ditangkap FBI sekiranya tidak mematuhi waran tangkap yang dikeluarkan terhadap mangsa.

Menurut FBI, sindiket itu mengetahui latar belakang mangsa dan menasihati orang ramai supaya mengurangkan pendedahan maklumat peribadi secara dalam talian termasuk dalam media sosial.

Jika pernah menonton sebuah filem The Laundromat di platform Netflix, sudah pastinya anda telah mengetahui lebih mendalam skandal pengubahan wang haram yang mempunyai kaitan dengan sindiket penipuan sehingga mengaut keuntungan berjuta-juta dolar Amerika Syarikat.

Poster filem The Laundromat.
Poster filem The Laundromat.

Filem arahan pengarah Steven Soderbergh itu menampilkan beberapa plot yang melibatkan ramai mangsa termasuk seorang wanita lakonan oleh Meryl Streep iaitu seorang isteri berhadapan tuntutan insurans kematian suami dan rupa-rupanya dia menemui ia adalah satu sindiket penipuan antarabangsa.

Ia adalah kisah sebenar yang dilakonkan semula untuk pendedahan orang ramai mengenai kegiatan scam yang bukan sahaja berlaku di Malaysia tetapi juga di luar negara.

The Laundromat
The Laundromat

Misalnya sebuah portal Mirror United Kingdom (UK) baru-baru ini melaporkan seorang warga emas berusia 78 tahun menerima panggilan telefon yang memaklumkan bahawa wang berjumlah 600 pound (RM3,500) hilang daripada akaun banknya manakala pemanggil memintanya menyerahkan sedikit duit untuk mendapatkannya kembali.

Walau bagaimanapun, dia mengambil keputusan bijak dengan menyemak kesahihan perkara itu dengan pihak bank dan akhirnya perkara itu disahkan tidak benar.

Selain itu, Netflix sendiri pernah mengeluarkan kenyataan kepada pengguna agar berhati-hati sekiranya menerima kiriman e-mel yang meminta untuk menekan butang vefiry (mengesahkan) langganan dan kemudiannya untuk mengisi maklumat peribadi termasuk nombor akaun bank.

Sekiranya mereka terpedaya dengan tipu helah e-mel itu, maklumat penting seperti akaun bank akan dibolosi 'scammer' sekali gus mereka bakal mengalami nasib wang dicuri oleh pihak terlibat.

Itu antara kisah skim penipuan antarabangsa sebaliknya Malaysia juga berhadapan situasi sama tanpa mengira kedudukan seseorang termasuk melibatkan pegawai tinggi kerajaan dan para pensyarah universiti.

Terbaharu, seorang jurutera di Seremban kerugian RM280,000 akibat terpedaya dengan sindiket Macau Scam manakala di Johor Bahru pula, seorang suri rumah hilang RM380,000 sekelip mata gara-gara tertipu dengan lelaki didakwa 'suaminya' yang dikenali menerusi Facebook.

Hanya beberapa saat menerusi satu klik transaksi akaun, akhirnya simpanan daripada hasil kerja berpuluh-puluh lesap begitu sahaja.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!